PN: Konflik dalaman BERSATU boleh jejas hadapi PRU16

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap polemik dan konflik dalaman BERSATU yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, isu dalaman sedemikian terus dibiarkan membengkak, kelak ia akan mengganggu persiapan dan gerak kerja jentera anak muda khususnya Jentera Pemuda PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang bakal menjelma

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia menegaskan, keadaan itu berpotensi menjejaskan persediaan jentera anak muda menghadapi PRU16, sekali gus memberi kesan kepada usaha memperkukuh sokongan rakyat terhadap gabungan berkenaan.

“Sehubungan itu Pemuda PAS menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang menyerahkan mandat kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menilai serta mengambil tindakan yang bersesuaian berkaitan masa depan bersama BERSATU,” katanya.

Menurut beliau, Pemuda PAS menghormati keputusan tersebut dan menyambut seruan MSU agar seluruh anggota parti terus berpegang teguh kepada adab berjemaah, memperkukuh kesatuan saf serta meletakkan kepentingan Islam, ummah dan negara mengatasi kepentingan lain.

Pemuda PAS tegasnya, menyokong pendirian dan keputusan MSU yang terus komited mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana mana individu atau kelompok.

“Pemuda PAS Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh terhadap setiap keputusan politik yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PAS selagi mana ia berpaksikan pertimbangan syarak, maslahah ummah serta keperluan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sebuah kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berwibawa,” jelasnya.

Mohd Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, pendirian tersebut selaras dengan usaha memastikan perjuangan parti terus berada pada landasan yang mengutamakan kepentingan Islam, ummah, rakyat dan negara.

Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob memaklumkan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS memutuskan untuk menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti.

Katanya, keputusan itu dicapai selepas majlis berkenaan meneliti laporan terperinci pimpinan PAS Pusat serta mengambil kira dapatan kajian dan penilaian pakar penyelidik berhubung perkembangan politik semasa.

“MSU PAS mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman BERSATU yang dilihat telah memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN) dalam membawa agenda penyatuan ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2026

- Advertisement -