
KOTA BHARU: Pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana dijangka menambah kapasiti hospital daripada 150 kepada 300 katil dengan sasaran operasi sekitar tahun 2030, tertakluk kepada kelulusan serta kelancaran pembinaan.
Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Bakar berkata, projek tersebut menjadi bukti prestasi cemerlang Hospital Pakar KPJ Perdana sehingga memerlukan penambahan bangunan dan kapasiti baharu.
“Pelaburan ini melibatkan jumlah yang signifikan dengan penambahan fasiliti termasuk tiga lagi bilik pembedahan menjadikan keseluruhan enam dewan bedah.
“Kita juga akan menyediakan lebih 320 petak parkir tambahan menerusi pembangunan bangunan baharu secara serentak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana, oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, di sini,hari ini.
Tambahnya, KPJ turut merancang mewujudkan pusat onkologi lengkap melibatkan perkhidmatan rawatan kanser termasuk radioterapi bagi memenuhi peningkatan keperluan pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD).
Katanya, permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan terus meningkat dengan kadar penggunaan katil di hospital berkenaan mencecah sekitar 80 peratus.
“Keperluan rawatan kini semakin kompleks dan tidak lagi hanya bergantung kepada kepakaran umum, sebaliknya memerlukan lebih banyak subkepakaran untuk membantu pesakit mendapat rawatan lebih tepat,” ujarnya.
Beliau berkata, ketika ini Hospital Pakar KPJ Perdana mempunyai 35 pakar merangkumi kira-kira 10 bidang perubatan dan jumlah itu dirancang ditingkatkan sehingga 80 pakar sejajar peluasan kapasiti hospital.
Sambungnya lagi, pembangunan tersebut turut dilihat mampu menyokong agenda pelancongan kesihatan negeri terutama susulan pembukaan akses penerbangan antarabangsa ke Kelantan.
Menurut beliau, rangkaian 30 hospital KPJ serta kerjasama antarabangsa membolehkan rakyat mendapatkan akses kepada amalan rawatan bertaraf dunia tanpa perlu ke luar negara.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan pengembangan pendidikan kesihatan di Kelantan pada masa depan sekiranya permintaan dan keperluan tenaga kerja sektor itu terus meningkat. – HARAKAHDAILY 4/6/2026











