
KUALA LUMPUR: Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan gejala sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, walaupun Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam adalah baik, situasi semasa menunjukkan masalah sosial seperti seks bebas, hamil tanpa nikah, penyalahgunaan dadah, pengambilan arak dan pelbagai penyakit sosial lain membimbangkan.
“Ada satu kajian yang telah dibuat oleh Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 hingga 2023. Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja telah dicatatkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan dan 17,646 daripada jumlah itu adalah remaja yang belum berkahwin.
“Di negeri Selangor, sebagai contoh, terdapat 555 kes hamil luar nikah membabitkan kanak-kanak dan remaja. Di negeri lain juga ada, malah pelajar IPT pun ada dalam catatan ini,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut menyentuh isu kes buli pelajar dan menyatakan simpati terhadap nasib seorang pelajar, Allahyarhaman Zara Qairina Mahathir, serta bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh ahli Parlimen lain.
Katanya, kes buli bukan perkara baharu, namun isu yang menimpa Zara amat menyedihkan dengan 326 kes direkodkan pada 2021, meningkat kepada 3,887 kes pada 2022, 4,999 kes hingga Oktober 2023, dan 6,208 kes pada 2024, sebelum berlaku sedikit penurunan selepas itu.
“Kalaulah kes buli ini bukan suatu perkara yang baru, mengapa kerajaan tidak boleh mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat? Ada kes-kes yang terpaksa disembunyikan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











