
KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menyifatkan arahan kerajaan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu lagi episod ‘terbalik’ dalam pentadbiran hari ini.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu berkata, demikian susulan video palsu yang menuduh bekas Perdana Menteri itu kononnya pernah mempertahankan warga asing dalam isu subsidi RON95.
Afnan berkata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX), terlebih dahulu menuduh Tan Sri Muhyiddin di Dewan Rakyat kononnya mempertahankan warga asing dalam hal subsidi bahan api tersebut.
“(Namun) pada hari yang sama juga, Tan Sri Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan seperti didakwa PMX,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu coretan hari ini.
Beliau berkata, kemudiannya tular satu video lama kononnya mengandungi ucapan Muhyiddin seperti yang dimaksudkan, namun semakan orang ramai termasuk portal Malaysiakini mendapati video itu adalah palsu dan rekaan semata-mata.
“Kemudian keluar pula kenyataan dari Pejabat PMX mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyiasat video tersebut. Dah tuduh, baru nak siasat. Patutnya siasat dulu, baru tuduh. Dah terbalik nampaknya,” katanya.
Lebih membingungkan, ujar beliau, Tan Sri Muhyiddin yang menjadi mangsa tuduhan palsu itu pula yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada SKMM, manakala pihak yang menyebarkan dan mencipta video palsu berkenaan langsung tidak disiasat.
“SKMM nampaknya kini jadi alat orang yang berkuasa untuk ‘menyiasat’ orang yang jadi mangsa kerana penipuan orang lain. Sepatutnya SKMM menyiasat orang yang menipu.
“Tapi tidak. Orang yang menipu tidak pula disiasat. Orang yang buat video tipu tidak pula dipanggil. Memang dah terbalik!” tempelaknya yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Afnan menyamakan suasana itu dengan filem komedi klasik ‘Keluarga 69’, dan secara sinis mencadangkan sebuah filem baharu berjudul ‘Kabinet 69’ diterbitkan bagi menggambarkan keadaan pentadbiran hari ini.
“Kalau arwah Seniman Agung masih ada, boleh jadi akan keluar filem baru, ‘Kabinet 69’. PMX boleh jadi hero dalam filem tu. Confirm box office! sindirnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2025











