
SHAH ALAM: Ketiadaan simbol bulan sabit dalam Jalur Gemilang yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily adalah satu kekhilafan serius yang perlu dinilai bukan hanya dari sudut teknikal, tetapi juga dari segi simbolik dan Perlembagaan Negara.
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, bulan sabit bukan sekadar lambang, tetapi manifestasi identiti negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Ia melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan, seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan. Maka, ketiadaan lambang ini memberi gambaran yang amat tidak wajar, seolah-olah identiti itu dipadam atau diketepikan.
“Kami tidak menuduh niat jahat, namun dalam konteks hubungan antarabangsa dan siaran media arus perdana, kecuaian terhadap simbol kedaulatan tidak sepatutnya berlaku,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, hari ini
Sukri yang juga Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru agar Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan wajar untuk menyiasat serta bertindak dan mengeluarkan garis panduan jelas.
“Semua media, tanpa mengira latar belakang wajib menghormati lambang rasmi negara. Seterusnya, rakyat Malaysia dididik untuk memahami dan menghargai setiap elemen Jalur Gemilang sebagai simbol kesatuan dan jati diri bangsa di semua peringkat,” katanya.
Tambah beliau, semangat patriotisme mesti berlandaskan kefahaman mendalam dan bukan sekadar permohonan maaf selepas sesuatu insiden berlaku.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap apabila tidak diletakkan bulan sabit.
Kesilapan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkan akhbar tersebut sebagai tidak peka. – HARAKAHDAILY 16/4/2025











