‘Ceroboh tanah: Siapa sebenarnya yang diuntungkan?’

- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan mempersoalkan motif sebenar di sebalik isu pencerobohan tanah di negeri itu, termasuk tindakan segelintir pihak yang mempertahankan individu melanggar undang-undang.

Menurutnya, di saat rakyat sibuk memperdebatkan isu penebangan pokok durian, persoalan lebih besar yang harus diberi perhatian adalah siapa sebenarnya mengaut keuntungan daripada pencerobohan berkenaan.

“Sementara kita sibuk berdebat tentang pokok-pokok durian yang ditebang, satu persoalan lebih besar sedang menghantui negeri Pahang. Siapakah sebenarnya yang mengaut keuntungan di sebalik isu pencerobohan tanah ini?

“Apabila seorang Ahli Parlimen sanggup ditahan kerana mempertahankan mereka yang jelas melanggar undang-undang, pastinya ada motif tersembunyi yang perlu didedahkan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat Pahang kini terjebak dalam dilema moral yang dicetuskan oleh pihak berkepentingan politik, hingga menimbulkan kekeliruan antara keperluan mematuhi undang-undang dan permainan persepsi politik.

“Kita digesa memilih untuk mendukung kedaulatan undang-undang atau tunduk kepada permainan politik yang memperalatkan isu ini? Pilihan ini bukan sukar, tetapi sengaja dikelirukan oleh mereka yang mengharapkan kekacauan untuk mencapai matlamat politik,” katanya.

Ujarnya, tindakan DAP mempertahankan penceroboh tanah selepas Sultan Pahang menzahirkan kemurkaan terhadap isu itu disifatkan sebagai satu bentuk penghinaan terhadap institusi diraja.

“Ketika Sultan Pahang sendiri menzahirkan kemurkaan terhadap pencerobohan tanah ini, DAP pula dengan berani mempertahankan para penceroboh. Bukankah ini mencerminkan suatu penghinaan terhadap institusi diraja?

“Atau adakah itu sebahagian dari strategi untuk melemahkan kuasa institusi tempatan demi agenda yang lebih besar? Persoalan ini perlu dijawab oleh mereka yang kini cuba menjadi ‘wira’ kepada penceroboh,” katanya.

Aireroshairi turut menyuarakan kebimbangan terhadap budaya baharu yang sedang tumbuh dalam kalangan masyarakat apabila undang-undang dilihat boleh diketepikan selagi ada perlindungan politik.

“Tindakan segelintir pihak yang mempertahankan pencerobohan secara membuta-tuli seolah-olah menyampaikan satu mesej – bahawa undang-undang boleh dilanggar selagi ada kuasa politik yang melindungi.

“Ini mengundang satu budaya berbahaya di mana keadilan menjadi permainan politik, dan bukannya prinsip yang perlu ditegakkan,” katanya.

Tambah beliau, puluhan juta ringgit hasil negeri yang hilang akibat pencerobohan bukan sekadar statistik, malah memberi kesan langsung kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Ia mewakili sekolah yang tidak dibina, klinik tidak dinaiktaraf, dan infrastruktur tidak diperbaiki untuk rakyat Pahang. Mengapa DAP tidak pernah mempersoalkan kerugian ini? Adakah kepentingan rakyat secara keseluruhan tidak sepenting kepentingan penceroboh tanah?” soalnya.

Beliau turut menyeru rakyat Pahang agar membuat pilihan yang tepat dan tidak terperangkap dalam permainan politik yang boleh merosakkan masa depan negeri.

“Hari ini, kita diminta untuk memilih antara kedaulatan undang-undang atau manipulasi sentimen politik. Pilihan ini akan menentukan masa depan negeri kita.

“Adakah kita akan terus membiarkan kepentingan politik memijak-mijak kedaulatan undang-undang, atau akan kita bersama-sama mempertahankan prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi teras masyarakat kita? Rakyat Pahang perlu bangkit dan menolak manipulasi ini sebelum terlambat!” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -