
SUNGAI BESAR: Isu kelewatan penyelenggaraan saliran serta keperluan naik taraf sistem parit dan tali air di kawasan kampung perlu diberi perhatian segera agar tidak terus menjejaskan sektor pertanian dan kehidupan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Ustaz Mohd Razali Saari berkata, sistem saliran yang uzur dan tidak disenggara dengan baik menjadi punca utama banjir kilat yang sering melanda kawasan rendah di Sabak Bernam.
“Beberapa kawasan kampung sering terjejas dengan banjir kilat kerana sistem saliran sedia ada tidak lagi mampu menampung kapasiti air, lebih-lebih lagi ketika musim hujan lebat.
“Penyelenggaraan parit dan tali air juga banyak yang tertangguh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam yang baharu, Ir Epyzul Mohd Shahali dalam satu sesi perbincangan dan kunjungan hormat di Pejabat JPS, hari ini.
Mohd Razali berkata, perbincangan bersama pihak JPS turut menyentuh keperluan menyusun semula keutamaan projek-projek saliran agar lebih responsif terhadap aduan serta keperluan rakyat setempat.
“Setiap perancangan teknikal yang dibuat perlu berpijak di bumi nyata dan mengambil kira realiti lapangan, terutama di kawasan pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi Sabak Bernam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JPS atas keterbukaan dan komitmen mereka untuk meneroka pendekatan baharu dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan saliran di daerah itu.
“Kerjasama antara pejabat wakil rakyat dan JPS amat penting bagi memastikan perancangan yang dibuat benar-benar menyelesaikan masalah rakyat, bukan sekadar memenuhi kriteria atas kertas.
“Insya-Allah, kita akan terus pantau dan ikuti perkembangan pelaksanaan agar tiada isu yang terlepas pandang. Rakyat perlukan tindakan, bukan alasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2025











