YB Mansor ziarah mangsa serangan anjing liar

- Advertisement -

KUALA KETIL: Langkah pencegahan akan diperketatkan bagi mengelakkan kejadian serangan anjing terhadap orang awam berulang lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria.

- Advertisement -

Berikutan itu tegasnya, satu perbincangan melibatkan pihak Jabatan Veterinar, Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Baling, pemilik anjing dan beberapa wakil penduduk diadakan, semalam.

Perkara itu katanya, sebagai tindakan segera berikutan kejadian serangan anjing jenis Rottweiler, di Taman Desa Bidara, di sini yang mengakibatkan lima mangsa cedera.

Kejadian awal pagi kelmarin, melibatkan lima mangsa terdiri, tiga lelaki dan dua wanita, cedera diserang ditiga lokasi berbeza apabila anjing berkenaan berjaya meloloskan diri dari rumah tuannya.

Mangsa pertama perempuan berusia 66 tahun, kedua lelaki, 74, dan keempat perempuan, 50, dan kini masing-masing dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Manakala mangsa ketiga lelaki, 51, serta mangsa kelima seorang lelaki, 28, warga Arab Saudi yang menuntut di sebuah universiti berhampiran, pula menerima rawatan di Hospital Pantai, Sungai Petani.

Walau bagaimanapun, kelima-lima mangsa berkenaan, dilaporkan berada dalam stabil.

Dalam pada itu, Majlis Daerah Baling telah mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik anjing berkenaan atas kesalahan membela dua ekor anjing jenis Rottweiler, tanpa lesen.

Sementara, pemilik anjing berkenaan juga bersetuju untuk melupuskan haiwan peliharaannya dan kedua-dua anjing itu diserahkan kepada Pejabat Veterinar Baling untuk dilupuskan secara ditidurkan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, turut mengadakan lawatan, menemui dan menziarahi tiga mangsa kejadian yang dirawat di HSAH. – HARAKAHDAILY 3/4/2025

- Advertisement -