Pelaku khianat bakar di Kupang akhirnya dihukum

- Advertisement -

BALING: Seorang pemuda mengaku bersalah melakukan perbuatan yang menyebabkan kebakaran lima motosikal di beberapa kampung sekitar Kupang, pada Disember dan awal Januari lalu.

- Advertisement -

Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, mengaku melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat, di Mahkamah Sesyen Baling, di sini semalam.

Afif dihadapkan dengan tiga pertuduhan, membabitkan kebakaran  motosikal Honda EX5 di sebuah rumah dekat Kampung Jerai, Baling pukul 3:15 pagi, 27 Disember tahun lalu.

Tertuduh juga mengaku bersalah membakar motosikal jenis Modenas Kriss, Honda EX5 dan SM Sport di sebuah rumah dekat Kampung Pisang, Kupang, di sini.

Termasuk kebakaran yang melibatkan motosikal Modenas Kriss di sebuah rumah dekat di Kampung Hangus, Kupang kira-kira pukul 3:30 pagi, 2 Januari lalu.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, bersabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Walau bagaimanapun, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, apabila hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan.

Hukuman diputuskan dijatuhkan kepada Afif bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 20 Januari lalu dan hukuman berjalan secara berturut-turut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Intan Nursyafina Baharudin.

Terdahulu, tertuduh ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran yang berlaku di sembilan rumah di Kupang sejak pertengahan Disember hingga awal Januari lalu.

Selain rumah, kebakaran itu juga turut memusnahkan dua kenderaan dan 18 motosikal, yang membabitkan kerugian berjumlah RM770,000.

Kelmarin, pada kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar memaklumkan, sebanyak lapan laporan telah diterima membabitkan kes tersebut dan tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lengkap telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 28 Januari lalu dan kita mendapat arahan untuk mendakwa suspek bagi ketiga-tiga kertas siasatan yang dibuka,” kata beliau.

Sementara Ketua Polis Kedah, Dato’ Fisol Salleh berkata, suspek yang juga penduduk Kupang telah ditahan pada jam 12:30 tengah malam, Isnin dua minggu lalu.

“Kesemua sembilan kes khianat yang dilakukan suspek berpunca daripada dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, kelmarin. – HARAKAHDAILY 3/2/2025

- Advertisement -