Perkasa generasi muda dengan kemahiran teknologi

- Advertisement -

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar generasi muda terus memperkasa diri dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) demi menghadapi cabaran era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

- Advertisement -

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan penutupan program AI Summer Camp University Tour 2024 yang berlangsung di Auditorium, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, semalam.

“Teknologi AI bukan sahaja keperluan dalam pelbagai bidang, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan negara ke tahap lebih tinggi,” titah baginda.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Institut Informatik Visual (IVI) UKM, dan UniMAP atas kejayaan menganjurkan program ini.

Sebelum ini program sama diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Zon Tengah dan Universiti Sultan Zainal Abidin  (UniSZA) bagi Zon Timur.

Program tersebut dilihat sebagai usaha signifikan dalam mempersiapkan pelajar dengan ilmu serta kemahiran praktikal yang relevan dengan cabaran masa kini, sekali gus melatih mereka untuk berfikir secara kritis, kreatif, dan inovatif.

“Melalui pendekatan ini, bakat muda yang berinovasi dan berdaya saing dapat dihasilkan, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di arena antarabangsa,” titah baginda lagi.

Baginda turut menyeru para pelajar untuk terus meningkatkan kebolehpasaran dengan menguasai kemahiran teknikal seperti AI, data analitik dan automasi.

Dalam masa yang sama, baginda mengingatkan, ilmu yang diperoleh harus digunakan untuk menyumbang semula kepada masyarakat, negeri, dan negara.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan dan Naib Canvelor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli serta Pengerusi FCoEE, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin. – HARAKAHDAILY 6/12/2024

- Advertisement -