1,000 sukarelawan universiti awam bantu pasca banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 1,000 sukarelawan terdiri daripada pelajar 12 Universiti Awam (UA) seluruh negara terlibat dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Skuad Ihsan Madani yang dijalankan di enam daerah terjejas di Kelantan pada 4 dan 5 Disember 2024.

- Advertisement -

Majlis pelancaran misi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) itu telah disempurnakan Pengerusi MASKUM, Prof Dr Norkhalid Salimin di Padang Kawad, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, hari ini.

Hadir sama ialah menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Ts Dr Arham Abdullah dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof Dr Mohammad Ismail.

Misi ini melibatkan penyertaan universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Turut serta Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), serta penyelaras bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, UMK dan USM bertindak sebagai penyelaras utama misi ini dengan menumpukan usaha pembersihan dan pemulihan kawasan kampung yang terkesan akibat bencana banjir.

“UMK melalui pasukan sukarelawan akan memberi tumpuan kepada pembersihan kediaman mangsa banjir, terutama di sekolah dan masjid yang terjejas.

“Untuk tujuan ini, pelbagai kemudahan seperti bas, van, kenderaan pacuan empat roda, serta peralatan pembersihan seperti waterjet telah disediakan oleh UMK, USM, dan MASKUM,” katanya pada media semalam.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya para sukarelawan dan pihak universiti, atas komitmen dalam membantu mangsa banjir kembali pulih daripada musibah.

Kerjasama ini bukan sahaja menunjukkan solidariti antara universiti awam, malah mencerminkan keprihatinan mahasiswa terhadap nasib masyarakat yang memerlukan bantuan. – HARAKAHDAILY 6/12/2024

- Advertisement -