
KUALA LUMPUR: Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) menyuarakan kebimbangan mengenai pindaan dalam Fasal 7 yang membenarkan pelantikan setiausaha Majlis Agama Islam tanpa kriteria jelas.
Beliau menegaskan bahawa pindaan itu memberikan kuasa kepada menteri untuk melantik individu yang ‘layak dan sesuai’ sebagai setiausaha majlis tetapi tidak menetapkan garis panduan atau kriteria yang spesifik.
“Tindakan ini menimbulkan sedikit kesangsian. Persoalan saya, apakah relevansi penstrukturan ini dilakukan? Apakah pro dan kontranya? Apakah definisi layak dan sesuai menjadi setiausaha majlis? Mohon dihuraikan apakah sedikit kriterianya?
“Penentu kelayakan juga adalah daripada kelulusan menteri. Bukankah ini akan membuka peluang yang sangat luas disalahgunakan oleh orang politik untuk melantik orang politik mengisi kedudukan dan juga jawatan ini?
“Ia bukan satu tuduhan melulu dan perkara ini ada berlaku dalam negeri di negara kita. Tidak perlulah saya sebutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan dalam memastikan kedudukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak dimanipulasikan untuk tujuan politik.
“Apakah jaminan kerajaan yang majlis ini akan bebas dari sebarang campur tangan orang politik dan golongan berkepentingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











