
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyelesaikan isu Skim Tanah Rakyat (STR) dihadapi generasi kedua FELDA, gesa Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau).
“Kami sebagai anak peneroka generasi kedua mengalu-alukan apa jua program yang terbaik untuk masyarakat FELDA, termasuklah STR. Cuma harapan saya dalam pelaksanaan STR ini berlaku adillah tanpa mengira fahaman politik dalam pengagihan STR ini.
“Selain itu, saya mengingatkan supaya ia tidak dijadikan alat-alat politik untuk sekadar meraih undi, tetapi tidak berlaku bersungguh-sungguh. Saya tidak bersangka jahat, tetapi lihatlah kegagalan perumahan generasi kedua ini.
“Bukan hanya gagal, tetapi hari ini kebanyakannya tidak menepati sasaran yang dikehendaki melalui skim rumah generasi kedua,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau mengingatkan betapa soal perasaan turut memainkan peranan yang amat penting dalam menilai dan membuat keputusan ke arah melakukan kebaikan.
“Semua pihak sememangnya boleh bercakap keluar daripada mulut, boleh bercakap datang daripada otak, tetapi tak ramai yang bercakap dengan hati.
“Sebab itu pepatah perkataan banyak mengatakan ayat, ‘berhati-hati, sakit hati, makan hati’, betapa pentingnya ‘hati’ dalam kita hendak menilai dalam membuat kebaikan,” katanya.
Beliau mempersoalkan bagaimana perasaan bersama semua pihak apabila berlaku kematian anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di mana sampai sekarang kes tidak diselesaikan.
“Mendiang bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock dah berapa lama kita masih menunggu.. apa keputusan siasatan? Begitu juga kematian di penjara, bayangkan kita ayah atau adik beradik mereka.
“Ini yang saya kata, bila kita letak hati sebagai timbang tara, Insya-Allah, Allah SWT akan memberkati perjuangan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024











