
KUALA LUMPUR: Istilah ‘maha kaya’ yang dinisbahkan kepada selain daripada Allah SWT adalah suatu perbuatan yang dilarang dan bercanggah daripada ajaran Islam.
Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, ia kerana istilah tersebut adalah suatu panggilan yang eksklusif kepada Allah SWT semata-mata.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penggunaan istilah tersebut oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Dalam ucapan belanjawan yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, ungkapan ‘maha kaya’ telah diulangi beliau sehingga lapan kali.
“Adalah jelas penggunaan konsep tersebut tidak diambil dari kefahaman Islam kerana yang ‘maha kaya’ dalam ajaran Islam hanyalah Allah SWT, Tuhan sekalian alam,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka menyatakan demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Tegas beliau, hanya Allah sahajalah sebagai pencipta alam ini yang boleh digunakan ungkapan sebagai ‘maha kaya’ dan ia tidak berhak dinisbahkan kepada selain Allah SWT.
Tambah beliau, firman Allah SWT dalam Al Quran, Surah Al Fatir ayat 15 yang bermaksud ‘Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka wahai manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah dalam segala perkara. Sedang Allah, Dialah sahaja yang Maha Kaya’ lagi Maha Terpuji.
“Menurut Tafsir Ibnu Katsir, bahawa hanya Allah sahajalah yang bersendiri di dalam kekayaan tanpa sebarang sekutu. Dialah yang terpuji pada setiap perbuatan-Nya, perkataan-Nya, ketetapan-Nya dan hukum-Nya,” kata beliau.
Menurut beliau, melahirkan rakyat dan masyarakat yang membesar dan mengagungkan Allah, Tuhan sekalian alam, hendaklah menjadi matlamat induk kepada segala program dan agenda kerajaan dalam sebuah negara.
“Apatah lagi Malaysia yang salah satu Rukun Negaranya adalah kepercayaan kepada tuhan dan agama rasmi Persekutuannya adalah Islam,” katanya.
Kata beliau lagi, dalam akidah Islam, harta adalah milik Allah kerana Allah yang menciptanya dan mengurniakannya kepada sesiapa yang Allah kehendaki.
“Hanya Allah sahaja yang Maha Kaya. Kekayaan manusia hanyalah pinjaman. Oleh kerana itu pengurusan harta, sama ada harta peribadi atau negara, mestilah diuruskan sesuai aturan dan syariat yang diturunkan Allah sahaja.
“Saya berharap ungkapan ‘maha kaya’ yang ditujukan kepada golongan tertentu dalam sebuah masyarakat berasaskan tradisi Barat tidak lagi digunakan selepas ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 5/11/2024











