SG4 anjur konvensyen pemerkasaan kepimpinan wanita

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita Kerajaan Empat Negeri (SG4) menjadi wadah kerjasama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

- Advertisement -

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, ia juga menjadi medium pertemuan dan perkongsian strategik antara kepimpinan negeri terbabit.

Selain itu sebagai wadah bagi kepimpinan wanita bagi memperkukuhkan kemahiran ke peringkat lebih tinggi.

“Legasi kepimpinan negeri-negeri SG4 perlu kita rangka dan laksanakan dengan terancang serta tersusun supaya memberi manfaat besar kepada negeri dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan sempena perasmian Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita SG4 dan sambutan Hari Sayyidatina Khadijah di sebuah hotel di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan. Turut hadiri Exco kerajaan Terengganu Maliaman Kassim, Exco Perlis Wan Badariah Wan Saad dan Exco Kedah Dato’ Siti Ashah Ghazali.

Rohani juga berkata, apa yang penting melaksanakan mengikut pelan tindakan yang jelas dan berstruktur bagi memastikan negeri SG4 sentiasa mantap.

“Sidang Kemuncak SG4 diadakan pada September lepas di Bangi dan diteruskan perkongsian strategik bersama portfolio pada 19 September di Perlis.

“Kita mengadakan perkongsian dan perbincangan antara empat negeri untuk kita saling berkongsi dan memanfaatkan apa yang terbaik. Insya-Allah program sebegini kita akan buat secara bergilir,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -