
KUALA LUMPUR: Penglibatan pendatang asing dalam perniagaan telah menjadi isu yang sering diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Sehubungan itu, Senator Dato’ Husain Awang meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana komitmen kerajaan untuk membendung pendatang asing yang mula menceburi bidang perniagaan sehingga menjejaskan peniaga-peniaga tempatan dan berkemungkinan menjejaskan ketenteraman awam.
Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Soalan Ahli-ahli Dewan Negara daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan hari ini sebagaimana di bawah.
Tuan Musoddak bin Ahmad minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan statistik pengeluaran beras putih tempatan mengikut negeri bagi bermula dari tahun 2018 sehingga Oktober 2023.
Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Dalam Negeri menyatakan implikasi terhadap tempoh pemprosesan permohonan kewarganegaraan yang dikurangkan daripada 73 hari kepada 14 hari.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pertahanan menyatakan perkembangan terkini tentang pembayaran ganti rugi RM269.5 juta kepada Kerajaan oleh Syarikat Kausar Consortium Sdn. Bhd. (KCSB) atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akibat kegagalan syarikat tersebut menyiapkan Projek Pembinaan Kem Tentera Darat di Taman Sri Skudai, Johor dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah bagi memastikan penempatan guru dilaksanakan secara telus di seluruh negara supaya semua guru tidak kira latar belakang ditempatkan di mana sahaja secara bergilir agar tidak hanya sesetengah guru sahaja yang merasai kesusahan.
Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha yang dilakukan bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani masalah lambakan lot kedai dan rumah kedai tidak terjual, yang akhirnya menjadi lubuk kepada aktiviti jenayah dan tidak bermoral.
Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana komitmen Kerajaan untuk menaik taraf dan menambah bilangan fasiliti kesihatan di Terengganu melalui peruntukan Belanjawan 2024.
Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana komitmen Kerajaan untuk membendung pendatang asing yang mula menceburi bidang perniagaan sehingga menjejaskan peniaga-peniaga tempatan dan berkemungkinan menjejaskan ketenteraman awam.
Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan apakah kesan fenomena El Nino yang sedang berlaku dan apakah persiapan untuk menghadapi Monsun Timur Laut.
Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pendirian Kerajaan terhadap isu Palestin dan apakah bentuk bantuan yang telah diberikan kepada rakyat Palestin sehingga kini.
Datuk Razali bin Idris minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima dan direalisasikan dari tahun 2020, 2021, 2022 dan 10 bulan pertama 2023 di Terengganu dan jumlah pekerjaan yang diwujudkan melalui pelaburan berkenaan.
Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah untuk meningkatkan kesedaran pemilik premis warga tempatan yang membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka selain daripada pembatalan lesen perniagaan dan kompaun yang ditetapkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan perancangan Kerajaan dalam menghasilkan lateks keluaran tempatan tanpa bergantung kepada lateks import yang menelan kos sebanyak RM3 bilion setahun.
Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan adakah Kementerian mempunyai sebarang perancangan untuk menyekat terus penggunaan beg plastik dan mewajibkan penggunaan beg alternatif yang lebih bersifat mesra alam.
Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan jumlah pelaburan yang sudah dilaksanakan setakat ini, memandangkan nilai mata wang Ringgit RM berbanding Dolar (USD) sekarang berada pada tahap yang membimbangkan. – HARAKAHDAILY 12/12/2023











