
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sentiasa bekerjasama erat dengan agensi di bawah Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (Miti) bagi menarik pelaburan ke negeri itu.
Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, agensi tersebut termasuk Yayasan Petronas sebagai rakan strategik pelaksanaan program pembangunan modal insan.
Selain itu, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Semua badan terbabit berperanan sebagai pengelola program atas komitmen penuh untuk memperkasakan modal insan dan melahirkan usahawan mikro dan SME di Kelantan.
“Lebih 40 peratus daripada 19,000 usahawan yang dilahirkan oleh program-program pembangunan usahawan ECERDC adalah rakyat Kelantan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Syabas dan tahniah buat ECERDC atas komitmen dan dedikasi sepanjang 15 tahun, kita akan terus menyokong inisiatif ECERDC dan bekerjasama untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada sambutan ulangtahun ke-15 ECERDC di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 3/12/2023











