Terengganu banyak berkorban kekalkan hutan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu banyak berkorban untuk menjaga hutan bagi mengelakkan hakisan tanah, menjaga biodiversiti, sumber air, mengawal pembalakan dan pembukaan hutan untuk pertanian.

Ini menyebabkan Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta penjelasan Kerajaan Pusat, iaitu sama ada disediakan bantuan khas diberikan kepada Terengganu untuk memastikan kelestarian hutan dapat dijaga.

- Advertisement -

Ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini, katanya Terengganu adalah antara negeri yang mengekalkan kira-kira 52.2 peratus kawasan hutan, iaitu antara yang tertinggi di negara ini.

Malah, katanya kerajaan negeri baru-baru ini, mengumumkan sebahagian hutan Kenyir sebagai Taman Negeri dengan menambah keluasan tadahan air kepada 30,000 hektar.

“Oleh itu, ingin saya tahu dari sudut konservasi dan habitat hutan, adakah Terengganu layak menerima apa-apa lagi bantuan dari Kerajaan Pusat, di bawah Green Climate Fund (GCF),” katanya.

Beliau berharap perkara itu dapat dipertimbangkan kerana sumber negeri Terengganu tidak banyak untuk melindungi khazanah semula jadi itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Transfer Fiskal Ekologi (TFE) merupakan wang yang disediakan oleh Kerajaan Pusat kepada negeri berdasarkan keluasan hutan dan inisiatif pemuliharaan biodiversiti.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, katanya dana TFE dinaikkan dari RM70 juta kepada RM200 juta.

“Hampir tiga kali ganda untuk Belanjawan 2024. Satu kenaikan yang sangat besar dan ini akan membantu kerajaan negeri untuk memelihara kawasan hutan, termasuk kawasan tadahan air,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan akan diberikan kepada semua negeri mengikut inisiatif yang mereka ambil.

“Antara negeri yang banyak menerima peruntukan itu ialah Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak, iaitu negeri yang mempunyai banyak keluasan hutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -