Azam khidmat terbaik, peringat Pusat tak hukum rakyat

Sidang media Menteri Besar Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berazam bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Kedah sedaya upaya termampunya.

“Kebetulan kita ada pula 33 semua ADUN yang telah dipilih mewakili Perikatan Nasional (PN) dari pelbagai latar belakang. Saya yakin semua ADUN, selain daripada saya itu 32 lagi itu mempunyai azam yang sama.

“Iaitu memberi khidmat bakti yang sepenuhnya kepada negeri dan rakyat Kedah Darul Aman,” ujar beliau pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman, di sini sebentar tadi.

Beliau terdahulu sebelum itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini pagi tadi.

Menurut beliau, senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan seramai 10 orang akan diputuskan komposisinya oleh pimpinan PN dalam minggu ini juga yang diharapkan berupaya menterjemahkan pelan Kedah2035.

Ditanya mengenai pendekatannya kepada Kerajaan Persekutuan, Sanusi berkata beliau bersedia untuk lembaran baru dan berharap pihak tersebut juga sedemikian dalam hal-hal pemerintahan kerajaan.

“Kalau mereka masih menyimpan dalam hati saya tak tahulah. Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan. Urusan ikut prosedur kerajaanlah. Hal-hal hati mana boleh bawa dalam itu. Kena simpan peti.

“Kesan kepada saya pun tak tahu. Bagi pihak saya tak adalah. Bagi depa pihak depa saya tak tahu. Tak akanlah pilihan rakyat nak dimarah pula. Menghukum rakyat Kedah kerana rakyat Kedah pilih PN? Mana boleh macam itu. Ni demokrasi.

“Duduk dalam politik puluh-puluh tahun dah demokrasi tak faham. Tak bolehlah lagu itu. Kena faham demokrasi. Janganlah menghukum rakyat faham apa yang kita kita bawa itu. Dan rakyat boleh terima.

“Selama ni orang tak faham. Tapi bila orang faham orang ikutlah. Orang nakkah itu. Itu yang kita buat, kepada agenda (dibuat),” ujarnya mahu mandat rakyat dihormati Kerajaan Pusat.

Diminta mengulas laporan kononnya akan menjemput ADUN Pembangkang menyertai Kerajaan, beliau menafikan serta menegaskan bahawa mempunyai ADUN dari GERAKAN yang mewakili bukan-Muslim.

Malah beritahunya, Pejabat Menteri Besar mempunyai wakil untuk masyarakat kaum Cina, India dan Siam di negeri ini di mana beliau tiada masalah memberi khidmat kepada masyarakat pelbagai kaum.

“Kerana kita tidak ada diskriminasi, tak ada sikap pilih bulu pilih kasih. Tak ada masalah apa,” ujarnya menegaskan akan menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latarbelakang politik.

Sanusi mengakui wujud DUN-DUN yang tidak dimenangi PN di mana pengundian diberikan berasaskan kaum di mana berharap pertimbangan keupayaan dilihat oleh pengundi di situ dan bukannya kerana sentimen. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -