11,469 permohonan pertukaran guru diluluskan pada 2021

Dato' Khlir Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11,469 permohonan pertukaran guru telah diluluskan pada 2021; kata Kementerian Pendidikan.

- Advertisement -

Menurut kementerian itu, jumlah permohonan pertukaran guru yang telah diluluskan pada tahun 2016 hingga 2022 adalah sebanyak 44,960.

Demikian jawapan bertulis kementerian itu kepada Dato’ Khlir Mohd Nor [PN-Ketereh] yang minta Menteri Pendidikan menyatakan dengan jelas berapa jumlah pertukaran guru mengikut pecahan tahun 2016 hingga 2022 pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Khlir juga bertanya apakah penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh KPM bagi tempoh dua tahun dan adakah kaedah yang diguna pakai dapat meningkatkan kadar pertukaran guru.

Menurut kementerian, sebanyak 5,773 permohonan pertukaran guru telah diluluskan pada 2016; (7,214 – 2017), (5,578 – 2018), (6,932 – 2019), (4,672 – 2020) dan (3,322 – 2022).

Katanya, dalam melaksanakan urusan pertukaran guru, KPM telah membuat penambahbaikan dengan menyediakan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bil. 7/2021 Pelaksanaan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional.

Tambahnya, turut dilampirkan bersama-sama SPI itu ialah Garis Panduan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.

“Garis panduan tersebut menjelaskan perkara berkaitan Dasar Pertukaran Guru yang digunakan sebagai rujukan kepada pelaksanaan permohonan pertukaran guru,” ujarnya.

Jelasnya, berdasarkan kepada garis panduan tersebut, KPM telah menetapkan tiga prinsip asas pertukaran iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

KPM turut membuat penambahbaikan dalam garis panduan tersebut iaitu permohonan dibuka sepanjang tahun, tempoh sah permohonan adalah satu tahun dari tarikh permohonan, permohonan dalam talian dibuka kepada semua kumpulan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP), kelulusan pertukaran dilaksanakan sepanjang tahun bagi penyandang jawatan Pengetua/Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran dan Guru Tingkatan 6.

Selain itu, kelulusan pertukaran bagi PPP yang lain dilaksanakan mengikut sesi penggal persekolahan iaitu sebanyak empat (4) kali setahun, keutamaan pertimbangan kelulusan pertukaran adalah kepada PPP yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun di negeri semasa bagi negeri-negeri di Semenanjung atau sekurang-kurangnya tiga tahun di negeri semasa bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan; dan sekiranya tiada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen bagi permohonan pertukaran PPP ke negeri yang dimohon, pertimbangan pertukaran akan diberikan kepada negeri pilihan kedua atau ketiga pemohon serta kepada negeri yang berdekatan.

Katanya, garis panduan tersebut juga menetapkan bahawa permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kepada beberapa kategori iaitu kategori kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan; dan kategori lain-lain.

“KPM juga ingin memaklumkan bahawa peratus kelulusan bagi permohonan pertukaran guru pada tahun 2022 meningkat kepada 41 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya setelah inisiatif penambahbaikan dilakukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -