Arsenal sudah berubah, bersemangat kejar kejuaraan

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Kemenangan 3-2 Arsenal ke atas Liverpool bukan sahaja membawa pasukan Mikel Arteta kembali ke puncak Liga Perdana, malah meningkatkan kepercayaan diri terhadap gaya permainan mendebarkan serta menjadi calon juara Liga Perdana.

Arsenal tergolong antara pasukan Liga Perdana paling menarik, tetapi sering dikaitkan dengan kerapuhan mental dan kecenderungan tewas berdepan kelab utama liga.

- Advertisement -

Namun musim ini, kelihatan tiada lagi tanggapan begitu. Dalam perlawanan mendebarkan menentang pasukan Juergen Klopp yang mengejar Manchester City sepanjang perebutan kejuaraan musim lalu, Arsenal bangkit dua kali daripada menyerahkan kedudukan pendahulu liga.

Ini merupakan kali kedua Arsenal menewaskan Liverpool dalam Liga Perdana sepanjang tempoh tujuh tahun lalu, tetapi lebih penting prestasi itu mengesahkan keazaman baharu pasukan itu.

Dalam perlawanan di tempat sendiri keempat berturut-turut, Arsenal sama ada ketinggalan atau bolos gol penyamaan tetapi masih menang, menewaskan Fulham, Aston Villa dan saingan utara London, Tottenham Hotspur sebelum Liverpool menjadi mangsa terbaharu.

“Saya melihat pasukan yang sangat saya kenali, personaliti yang mereka tunjukkan pada saat-saat sukar,” kata Arteta.

Arsenal terkenal dengan pemain berdarah muda sejak Arsene Wenger menjadi pengurus pada 1996 walaupun kekurangan kejayaan sejak kejuaraan liga terakhir pada 2004. Sejak itu, pasukan ini dipandang sepi kerana tidak mempunyai cukup pemain senior.

Namun pasukan Arteta juga dicirikan oleh pemain muda dengan purata umur kesebelasan utama pada Ahad lalu ialah 24 tahun, manakala penjaring gol Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka, masing-masing berusia 21 tahun.

Perbezaan antara pasukan Arteta dan pasukan yang kurang pencapaian pada penghujung kendalian Wenger adalah pengalaman mereka. Martinelli membuat penampilan sulungnya pada 2019, manakala Saka menjadi pemain tetap sejak kempen 2019-20.

Saka terlepas sepakan penalti terakhir England ketika penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Euro 2020. Namun, dia mempamerkan keyakinan apabila menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan penalti menentang Liverpool.

Faktor lain di sebalik kebangkitan Arsenal musim ini ialah sikap penyokong yang mengubah suasana Stadium Emirates menjadi kubu kuat, memenangi semua enam perlawanan musim ini dalam semua pertandingan.

Gelanggang lama Arsenal, Highbury, sering dijadikan bahan jenaka penyokong lawan dengan gelaran perpustakaan. Namun Stadium Emirates yang boleh memuatkan kira-kira 60,000 orang juga diejek kerana kekurangan suasana bersemangat dengan peminat balik awal atau mengejek pemain sendiri apabila keputusan perlawanan tidak memuaskan.

Keadaan kini berubah. Penyokong tuan rumah bangkit memberi sokongan padu selepas gol penyamaan Roberto Firmino dan Darwin Nunez. Arteta berkata, penyokong memainkan peranan besar dalam kemenangan Arsenal terhadap Liverpool.

“Saya tidak pernah melihat suasana seperti ini. Anda tidak boleh bayangkan betapa penyokong membantu pemain dan berapa banyak kepercayaan, keyakinan dan sokongan kepada pemain. Ini adalah antara perkara terbaik sejak kami bersama di sini,” kata Arteta.

- Advertisement -