
Oleh NURSAM MOHAMMAD
PUTATAN: Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, dalam tempoh usia 25 tahun, PAS Kawasan Putatan telah melalui proses kematangan.
Beliau berkata PAS kawasan terus meningkatkan kualiti pengurusan parti di semua peringkat dan menggerakkan usaha dalam memperbanyakkan pendaftaran ahli baharu.
Aminuddin menyatakan demikian pada majlis Sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun penubuhannya dengan bertemakan ‘Bergerak ke Gerbang Jasa’, kelmarin.
Setiausaha PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan pula menegaskan agar ahli dapat menawarkan diri di posisi yang diperlukan parti dan terus taat kepada segala keputusan pucuk pimpinan.
“Sentiasa duduk dekat dengan jemaah, jangan menjadi ahli yang mendapat tarbiah, tetapi jauh dari jemaah,” ujarnya.
Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Muhammad Akmal Othman turut menzahirkan perasaan terharu kerana PAS kawasan telah berkembang dan mula diterima oleh rakyat khususnya di kawasan Parlimen Putatan.
“Ini semua adalah usaha ahli-ahli telah menggerakkan parti ini melalui aktiviti dakwah, kebajikan, pendidikan, tarbiah dan politik,” ujarnya.
Dalam majlis telah mengumpulkan kesemua mantan yang dipertua sejak 1997 sehingga kini dan diberi ruang berucap sama ada secara fizikal atau secara dalam talian.
PAS Kawasan Putatan ditubuhkan pada 24 Ogos 1997, yang dahulu dikenali sebagai PAS Kawasan Tanjung Aru.
Selain mempunyai Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, terdapat 11 cawangan PAS yang berdaftar di Kawasan ini. – HARAKAHDAILY 26/8/2022











