Bersatu jelajah penerangan isu semasa ke Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dalam usaha memantapkan kedudukan Bersatu siri Jelajah Penerangan Isu Semasa diteruskan sehingga ke Sabah.

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, siri jelajah itu bagi mencapai kebersamaan dalam gerak kerja.

- Advertisement -

Katanya perjumpaan dengan pemimpin di peringkat akar umbi amat penting bagi mendapatkan input-input yang dapat membantu memperkukuhkan Bersatu.

“Sebagai Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, tanggungjawab saya untuk mendapat dan menyalurkan maklumat yang penting dan tepat kepada ahli parti,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Ahad lepas Wan Saiful mengadakan siri jelajah ke Beaufort, Sipitang, Kimanis, Tawau, Sandakan dan Ranau.

Menurutnya juga beliau turut bersama Srikandi-Srikandi di Sabah sambil berkongsi pandangan isu-isu semasa dan politik bagi memantapkan lagi gerak kerja prihatin menyantuni rakyat.

“Terima kasih diucap kepada Ketua Srikandi Ranau Dato’ Amisah Yassin, Ketua Penerangan/Ketua Srikandi Libaran Anna Bell Perian, Penerangan Kudat Siti Aisyah Latif dan ramai lagi ketua Srikandi yang hadir.

“Saya turut merakam penghargaan terima kasih kepada sahabat-sahabat media Sabah kerana membuat liputan berita mengenai isu politik semasa negara,” ujarnya.

Sementara itu di Beaufort Wan Saiful menghadiri Program Didik Simpan SSPN 2022 Peringkat Parlimen Negeri Sabah.

Menurutnya program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat PTPTN bagi membantu pelajar asnaf berkaitan aspek pendidikan serta galakan awal untuk membantu memulakan penabungan.

Kata beliau sejumlah RM35,000 disampaikan bagi kawasan Pensiangan, Keningau, Tenom, Sipitang, Beaufort, Kimanis dan Papar untuk pelajar asnaf dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang. – HARAKAHDAILY 7/6/2022

- Advertisement -