
Oleh RUSILAH MD SOM
PORT DICKSON: PAS Port Dickson membantu lebih 100 orang ‘rider’ P-Hailing, mengisi minyak petrol secara percuma, di sini, petang semalam.
Antara pimpinan PAS yang hadir sama dalam program ‘Isi Petrol Percuma’ anjuran PAS Kawasan Port Dickson ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar dan Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Port Dickson, Abdul Fatah Zakaria dan Timbalan Yang Dipertua PAS Ramli Ismail.
Program yang bermula jam 3 petang itu telah diberikan kepada lebih kurang 100 orang pekerja penghantaran makanan, P- Hailing yang antaranya menggunakan sistem penghantaran seperti Grabfood, Food Panda, McD Sunggala Delivery diadakan di Stesen Minyak Shell NR Talang Enterprise, Batu 6 di sini.
Menurut Abdul Fatah semenjak berlakunya pandemik Covid-19, ramai yang turut terkesan dan oleh itu PAS Kawasan memilih untuk membantu para ‘rider’ melalui program yang diadakan.
“Beri petrol percuma ini sebagai tanda PAS memberi sokongan moral serta menyokong usaha mereka kerana kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda yang tinggal di sekitar Port Dickson,” tambahnya.
Pihak Pengurusan Shell NR Talang Enterprise serta kakitangannya telah membantu melancarkan perjalanan program dengan dibantu oleh beberapa orang petugas Jabatan Amal Malaysia Negeri Sembilan.
Dalam majlis tersebut PJ Negeri Sembilan pula mengingatkan semua pimpinan PAS di negeri ini agar meneruskan usaha membantu rakyat dengan mengenepikan kemelut politik yang sengaja dicipta oleh Pakatan Harapan.
Abdul Fatah menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat terutama pihak yang menghulurkan sumbangan kewangan, tenaga dan masa bagi menjayakan program tersebut. – HARAKAHDAILY 8/8/2021











