‘Dine-in’ dibenarkan bagi individu lengkap dos vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktiviti dine-in di premis kedai makan dan restoran dibenarkan bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.

- Advertisement -

Pemilik premis kedai makan juga diberi tanggungjawab memastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination).

Tindakan itu bagi membuktikan bahawa individu atau pengunjung premis telah menerima vaksinasi lengkap.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hal ini kerana kerajaan berpendapat bahawa aktiviti dine-in mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding aktiviti lain.

“Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti dine-in sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi.

“Ini kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja. Ini mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan Covid-19,” ujarnya dalam pengumuman khasnya, hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan juga menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama di premis kedai makan.

Kerajaan turut menasihatkan orang ramai untuk take-away jika situasi mengizinkan dan memilih premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka.

Sementara itu, beliau juga menyarankan pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

Ini kerana kerajaan faham bahawa risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

Tambahnya, bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kemudahan yang diumumkan itu akan mula berkuatkuasa pada Selasa, 10 Ogos 2021 dan perinciannya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat. – HARAKAHDAILY 8/8/2021

- Advertisement -