Kewibawaan kepimpinan Muslimat PAS makin terserlah

Dato' Ustazah Ashah menyantuni penduduk di Dun Merbau Pulas dalam misi mempertahankan kerusi Dun berkenaan pada PRN Kedah kali ini.
- Advertisement -

PERANAN muslimat dalam bidang ekonomi, politik dan sosial semakin meningkat dan diterima masyarakat antarabangsa.

- Advertisement -

Sejarah juga telah membuktikan susuk tubuh kepimpinan dalam perjuangan Islam juga terdiri daripada ramai tokoh-tokoh wanita.

Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulluah SAW adalah tokoh perniagaan yang cemerlang sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW.

Selepas berkahwin beliau adalah manusia pertama beriman dan menjadi pembela perjuangan baginda Rasulullah SAW dengan sifat keberaniannya.

Zainab al-Ghazali muncul sebagai kepimpinan wanita dalam gerakan Islam di zaman moden dalam memperjuangkan gerakan lkhwan al-Muslimin, sanggup menghadapi pelbagai cabaran dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Beliau terus menjadi idola kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia sekali gus menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam.

Di negara kita, PAS telah melahirkan seorang muslimat pertama yang dilantik ke jawatan Timbalan Menteri dalam kabinet kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dianggap berjaya memahat potret di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meskipun hanya berkhidmat kurang sepenggal.

Beliau sudah lama berkhidmat untuk rakyat, menerajui Dewan Muslimat PAS Malaysia pada tahun 2011 hingga 2015, dan kini menerajui Dewan Muslimat PAS Kelantan.

Sepanjang lebih dua penggal berada di kerusi pembangkang sejak 2008 hingga 2020 tiada peruntukan Kerajaan Persekutuan, beliau telah menggunakan duit poket sendiri dalam tempoh tersebut bagi membantu rakyat di Rantau Panjang.

Dan keadaan itu berubah selepas PAS berada bersama kerajaan PERIKATAN NASIONAL mulai Mac 2020.

10 projek berimpak tinggi di parlimen Rantau Panjang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2020 hingga 2022 mengambil peluang beliau berada dalam kerajaan Persekutuan ketika itu iaitu:

1.  Projek Pembangunan Sungai Bersepadu Sungai Golok bagi menangani masalah banjir serta meningkatkan keselamatan, dengan nilai kos RM1.956 bilion.

2. Bantuan Wang Ihsan Banjir pula memberi manafaat kepada kira-kira 14,557 mangsa bencana banjir dengan peruntukan sebanyak RM21.6 juta.

3. Membaik pulih sebanyak 281 jalan kampung dengan kos RM2.28 juta

4. Projek pembinaan 20 telaga tiub melibatkan belanja kira-kira RM400,000.

5. Projek pembinaan tandas awam di Bandar Rantau Panjang bernilai RM50,000,

6. Projek Pemasangan ‘culvert’ di Kedai Lama, Lubok Gong RM190,000. Ia bagi melancarkan sistem saliran sekali gus mengelakkan berlakunya ‘banjir termenung’.

7. Projek Pembinaan Medan Selera di bandar Rantau Panjang dengan kos RM500,000 bagi merancakkan ekonomi penduduk Rantau Panjang.

8. Membina dan membaikpulih rumah rakyat B40, di mana 137 buah berjaya siap dibina dan dibaikpulih dengan kos RM2.72 juta.

9. Menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas Rantau Panjang dengan geran pengurusan dan pentadbiran tahunan berjumlah RM50,000. Manakala kos penambahbaikannya berjumlah RM100,000.

10. Penubuhan Pusat Sokongan Sosial yang berfungsi sebagai pusat penerimaan aduan serta intervensi awal dengan kos RM2 juta.

Di samping itu, beliau konsisten memperjuangkan cadangan yang terbaik hak asasi wanita dan kebajikan masyarakat melibatkan isu pakaian pramugari dan sebagainya.

Ternyata bagitu besar ketokohan dan kemampuan beliau sebagai wakil rakyat wanita melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam urusan pentadbiran negara dan parlimen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi juga anak kelahiran Kelantan telah melibatkan diri dengan politik semenjak dari tempoh pengajiannya di sekolah lagi.

Bagi beliau terlibat dengan politik PAS adalah satu ibadah, dengan melihat dasar-dasar dan doktrin yang dibawa oleh PAS sendiri.

Pada umur semuda 34 tahun, beliau telah bersuara di Parlimen sebagai Ahli Dewan Negara dan mendapat gelaran Senator bagi membincangkan isu-isu negara.

Bermula kariernya sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) pada tahun 2013 sebagai wakil rakyat Demit (N19 Demit di dalam Parlimen Kubang Kerian) sehinggalah berakhirnya penggal DUN baru-baru ini, sekali gus beliau juga merupakan satu-satunya wanita dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Sebagai seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan, beliau diberi amanah sebagai Pengerusi Urus Setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan (UPWKK) juga telah dipilih menjadi Ahli Lembaga (Trustee Board Members) Kesatuan Wanita Islam Sedunia (IMWU).

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Syariah dan Sivil ini telah mengendalikan kes-kes sivil di mahkamah di seluruh Semenanjung Malaysia dan peguam syar’ie di Mahkamah Syariah, ditambah dengan kepakaran dalam bidang insurans serta kemalangan jalan raya.

Dengan kepakaran berkaitan undang-undang syariah dan keluarga, suaranya telah didengar bagi membentangkan kertas kerja berkaitan undang-undang syariah dan keluarga, kepada hampir 27 buah negara dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Mewakili ahli parlimen ke BBC untuk Persidangan Video Antarabangsa New South Wales, South Africa dan Malaysia serta mengetuai delegasi Ahli Dewan Negara ke persidangan luar negara, Ahli Jawatan Kuasa Inter Parlimentary Union.

Penglibatan beliau dalam PAS bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sebelum terpilih sebagai Naib Ketua DMPP pada tahun 2009 hingga 2015.

Kini beliau adalah Ketua Lajnah Antarabangsa DMP Malaysia, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kelantan yang juga merupakan Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Demit.

Nama beliau juga tersenarai antara perintis di dalam Yayasan Pembangunan Wanita Murni Kelantan sekitar 1998 hingga 2006.

Kepemimpinan dan kewibawaan beliau dalam persatuan dan penglibatan beliau dalam program-program kebajikan serta pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat telah membuktikan bahawa Mumtaz Md Nawi sememangnya layak menjadi pemimpin pilihan rakyat Kelantan.

Beliau yang memiliki jiwa jundullah, berjuang untuk Islam dan sering memberi suntikan motivasi dan taujihat yang cukup bermakna, bicara kalamnya menjentik minda dan menyentuh rasa khususnya buat wanita dan anak muda.

Di Selangor pula, Dr. Halimah Ali berkata, perjuangannya bukan untuk ahli dan penyokong PAS sahaja sebaliknya mewakili suara penyokong Pakatan Harapan (PH) yang tidak dipedulikan oleh wakil rakyatnya.

Justeru, katanya, walaupun hanya satu suara pembangkang sahaja berada dalam kerajaan negeri, ia adalah suara penting kerana dapat menegur dan mengimbangkan pentadbiran pemerintah.

Mengenali Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali yang telah berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Pengalamannya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang selama 10 tahun (2008-2018) telah menyelesaikan beberapa isu termasuk isu di Kampung Delek yang merupakan kawasan yang kerap kali berlaku banjir.

Langkah proaktif beliau menekankan kerajaan negeri supaya mengeluarkan peruntukan sepenuhnya bagi memperbaiki sistem perparitan di kampung berkenaan sehingga masalah banjir berjaya diselesaikan.

Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan beberapa kolam takungan air di sekitar Meru dan Kapar serta segala kerja projek pembangunan di dua pekan tersebut diteliti terlebih dahulu bagi mengelak berlakunya banjir selepas sistem perparitan dibaiki.

Sebagai Ahli Exco Pendidikan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor pada 2008-2014 beliau telah menubuhkan SPIES iaitu memfokuskan lima aspek penting dalam pembentukan modal insan sempurna iaitu S-spiritual (kerohanian), P-physical (fizikal) I-intellectual (ilmu pengetahuan), E-emotion (emosi) dan S-social (sosial).

Antara lain kejayaan beliau adalah memperkasakan pendidikan Islam dengan membina Sekolah Islam Integrasi Al-Farabi Klang dan Kolej Integrasi Tahfiz  Tunas Ilmu Selangor (KITTIS) di Sabak Bernam Selangor serta Taman Mini Botani Al-Quran di Kampung Delek Kelang.

Bagi memacu kecemerlangan pelajar, beliau telah mengasas Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di seluruh 56 kawasan Dewan Negeri Selangor, di mana setiap kawasan mempunyai sekurang-kurangnya satu pusat tuisyen. Jumlah peruntukan bagi Program Tuisyen Rakyat Selangor adalah sebanyak RM3.45 juta bagi setiap tahun dan dilaksanakan di seluruh negeri.

Sebelum menjadi individu penting dalam pentadbiran negeri Selangor, Dr Halimah pernah berkhidmat di hospital-hospital kerajaan sebelum membuka klinik sendiri di Klang yang kini mempunyai dua cawangan.

Sebagai seorang doktor yang prihatin dengan masalah ummat sejagat, beliau juga pernah menjadi sukarelawan bagi misi-misi kemanusiaan anjuran Yayasan Amal Malaysia iaitu sebuah NGO yang dianggotainya.

Kelebihan Dr. Halimah ini turut diperakui golongan pelbagai bangsa di kawasannya kerana kebolehan beliau berbahasa Mandarin dan Tamil.

Kelebihan ini menyebabkan beliau dilantik sebagai Ketua Editor Buletin Mandarin Ren Min Shi Shi dan Editor risalah Tamil Makkal Sakhthi.

Mengenali seorang lagi pemimpin muslimat dari Kedah ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Beliau juga adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh beliau untuk memperkasakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), dari segi peranan, pentadbiran dan pengurusan kewangan badan berkenaan.

Mereka yang mempunyai kepentingan sebagai antara barisan hadapan atau frontliners mewakili kerajaan negeri untuk membantu pembangunan khususnya di luar bandar.

Siri-siri kursus, seminar dan bengkel terutamanya secara atas talian bagi memastikan JPKK terdedah dengan pelbagai maklumat bermanfaat untuk kegunaan masyarakat luar bandar.

Peruntukkan elaun kepada JPKK setiap kampung sama ada pengerusi, setiausaha dan biro-biro diberi untuk membantu mereka menjalankan tugas.

Pejabat daerah juga menyediakan pelbagai peralatan keperluan asas pejabat untuk kegunaan rasmi JPKK bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan mereka.

Beliau yakin, JPKK akan memainkan peranan sebaiknya untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal untuk mendapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Sementara itu, peruntukan RM50,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Bajet 2022 melalui Program Desa Sejahtera dapat membantu beliau melaksanakan penambahbaikan kecil.

Program pembangunan insan bagi menjayakan moto Kedah iaitu Sejahtera Nikmat Untuk Semua telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan khasnya di kalangan anak-anak muda terutama melibatkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor seperti konvoi motosikal menunjukkan perkembangan positif.

Pada program itu anak-anak muda diajak solat berjemaah dan diberi suntikan motivasi oleh Menteri Besar sendiri.

Bagi Siti Ashah, sokongan anak-anak muda sehingga memberi kemenangan besar kepada PERIKATAN NASIONAL pada PRU15 sekali gus membuktikan program pembangunan insan telah berjaya dibangunkan dalam diri rakyat Kedah.

Pihaknya juga telah menerbitkan sebuah buku yang menggariskan 40 hadis bertemakan pembangunan insan dan telahpun diedarkan kepada masyarakat awam.

Buku tersebut boleh digunakan sebagai bahan rujukan oleh para pendakwah dan tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain memberi fokus kepada pembentukan rohani, program-program untuk merancakkan ekonomi dan peniaga kecil persekitaran juga dilaksanakan.

Kedah dan Terengganu bertukar-tukar pandangan mengenai program berkaitan wanita khususnya di negeri di bawah pentadbiran PERIKATAN NASIONAL.

Dalam perjumpaan beliau dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mereka telah bercadang untuk mewujudkan Skuad Sukarelawan Wanita (Squad Waja) dan rumah perlindungan wanita yang akan diwujudkan di setiap daerah.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, yang juga berperanan sebagai Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga di DMP Malaysia.

Bersesuaian dengan lajnah tersebut, Taska Tunas Insan (TASTI) antara pusat asuhan untuk kanak-kanak usia tiga bulan hingga berumur empat tahun telah ditubuhkan yang pertama di Jitra.

TASTI merupakan produk Dewan Muslimat PAS Malaysia. Visinya adalah untuk menerajui penghayatan Asma-ul-Husna dalam kehidupan kanak-kanak, seawal usia.

Ia ditubuhkan untuk menawarkan kepada ibu bapa tempat penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam yang selamat dan kondusif.

Kesimpulannya, wanita tetap berperanan di dalam masyarakat. Mereka tidak seharusnya membiarkan tugas kemasyarakatan diserahkan kepada kaum lelaki sahaja. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -