‘Kalau saya menang, saya boleh mati terkejut’ – Rafizi

JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, membuat kenyataan mengejutkan dalam program ceramah HIRUK terakhir malam ini apabila menyatakan bahawa beliau sendiri tidak meletakkan harapan untuk menang dalam pemilihan parti yang akan berlangsung hujung minggu ini.

- Advertisement -

“Saya tahu saya tidak akan menang. Kalaulah tiba-tiba saya menang, saya boleh mati terkejut. Kerana saya telah tengok semuanya telah disusun,” ujar beliau di hadapan para hadirin di Johor Bahru.

Jelajah HIRUK ini merupakan siri kempen menjelang pemilihan dalaman PKR, dengan perhatian utama tertumpu kepada pertembungan merebut jawatan Timbalan Presiden antara penyandang, Rafizi Ramli, dan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar – anak kepada Presiden parti dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan Rafizi itu mencuri tumpuan ramai dan mengundang pelbagai reaksi di mana pemerhati politik berpendapat, ia memberi isyarat jelas bahawa keyakinan terhadap ketelusan proses pemilihan dalam parti kini semakin terhakis – lebih membimbangkan apabila ia datang daripada pimpinan tertinggi parti sendiri.

Para penganalisis juga melihat pertembungan Rafizi-Nurul Izzah sebagai gambaran krisis dalaman yang lebih besar sedang melanda PKR.

Perlawanan dua tokoh ini bukan sekadar perebutan jawatan, tetapi dilihat sebagai penentu haluan masa depan parti itu sendiri – antara kesinambungan reformasi atau pengukuhan dinasti.

Menurut mereka, apabila Timbalan Presiden mempertikaikan proses yang sepatutnya adil dan bebas, ia mencerminkan masalah struktur yang mendalam dalam PKR.

Malah, situasi ini dikhuatiri akan memberi kesan terhadap keyakinan akar umbi serta pengundi luar bandar menjelang pilihan raya akan datang.

Beberapa penganalisis turut menyatakan kebimbangan bahawa pertembungan ini, jika tidak diurus dengan baik, mampu mencetuskan perpecahan lebih parah dalam PKR yang kini menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Perpaduan. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -