KUALA LUMPUR: “Kami tak minta dilayan seperti menteri. Cukup dilayan seperti manusia.”
Itu luahan penuh emosi seorang petugas kesihatan yang kini tular di media sosial menerusi sepucuk surat terbuka ditujukan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Surat itu memaparkan realiti sebenar kehidupan barisan hadapan kesihatan negara yang saban hari berkhidmat dalam keadaan tertekan dan keletihan melampau.
Mereka bukan sahaja bekerja dalam jadual panjang dan padat, malah terpaksa berdepan pelbagai risiko serta beban emosi yang jarang difahami oleh masyarakat.
Menurut penulis surat berkenaan, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, sistem kesihatan negara masih terperangkap dalam pendekatan lapuk dan tidak lagi sesuai dengan tuntutan semasa.
Para doktor muda bekerja sehingga 70 jam seminggu, jururawat berkejar ke sana sini mengurus pesakit tanpa rehat yang cukup, manakala penolong pegawai perubatan pula dipaksa melakukan tugas fizikal berat tanpa kemudahan sepatutnya.
Namun, katanya, tatkala berlaku kesilapan kecil, mereka dikenakan tekanan pentadbiran dan tindakan tatatertib.
Malangnya, apabila mereka berkhidmat dengan cemerlang, tidak ada siapa tampil mengucapkan terima kasih atau menunjukkan penghargaan.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam sektor kesihatan negara.
Menurutnya, para petugas tidak lagi mahukan sekadar pujian atau poster penghargaan sempena Hari Frontliner.
Sebaliknya, mereka mahu dasar dan pelan tindakan sebenar yang menjamin kebajikan dan kesejahteraan semua pihak yang berada di barisan hadapan.
Antara perkara dibangkitkan termasuk keperluan menubuhkan satu suruhanjaya khas yang membolehkan suara petugas kesihatan disampaikan terus ke peringkat tertinggi tanpa ditapis.
Juga mengenai pemberian cuti khas untuk kesihatan mental, penstrukturan semula sistem penempatan pasangan dalam sektor awam, serta pengenalan sistem kerja lebih fleksibel bagi unit bukan kritikal seperti farmasi dan pengurusan.
Malah, beliau turut mencadangkan agar sambutan Hari Frontliner dijadikan satu acara tahunan yang benar-benar membawa makna, bukan sekadar poster digital semata-mata.
Katanya, petugas kesihatan tidak menuntut gaji mewah, tetapi cukup sekadar diberi pengiktirafan dan sokongan moral agar semangat mereka terus hidup.
“Kalau semangat kerja mati, kos melatih staf baharu dan kehilangan pakar lebih mahal daripada menaikkan elaun atau memberikan insentif,” katanya.
Setakat ini, surat berkenaan telah dikongsi lebih 10,000 kali di Facebook dengan ribuan komen menyatakan sokongan dan simpati terhadap nasib petugas kesihatan negara.– HARAKAHDAILY 21/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!