KUALA TERENGGANU: Hijab Transformation anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) berjaya menyentuh hati para pelancong asing yang singgah di Terminal Feri Taman Tamadun Islam (TTI), baru-baru ini.
Program yang memasuki edisi kedua itu bertujuan memperkenalkan keindahan Islam kepada pengunjung bukan Islam, khususnya pelancong luar negara, menerusi pendekatan dakwah yang harmoni dan mesra.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program itu selaras dengan slogan kerajaan negeri ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ dan diharap menjadi medium menyampaikan mesej Islam dalam suasana penuh hikmah.
“Terengganu menjadi antara destinasi popular pelancong dalam dan luar negara. Maka wajarlah program sebegini diteruskan sebagai satu usaha dakwah secara harmoni.
“Terima kasih kepada isteri saya, Dr Farhaana Husainy yang turun padang untuk sama-sama menjayakan program tersebut. Tahniah DUAT dan rakan-rakan kerjasama atas kejayaan program ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Program tersebut disertai Pengerusi MACMA Terengganu, Datin Norhana Ng Abdullah yang turut menyantuni para pelancong dan memberi penerangan mengenai konsep aurat serta keindahan Islam secara langsung.
Menceritakan pengalaman peribadi, Farhaana berkata, rata-rata pelancong asing yang ditemui menyambut baik pelawaan untuk mencuba mengenakan hijab dan memberikan reaksi positif terhadap pengalaman tersebut.
“Percaya atau tidak, mereka adalah pelancong bukan muslim yang sangat ‘sporting’ mengenakan ‘shawl’ untuk program ‘Hijab Transformation’ di jeti Taman Tamadun Islam.
“Bila ditanya apa perasaan mereka apabila buat pertama kali memakai hijab, ada yang jawab “I feel nice”. Ada juga yang jawab, “Rasa selesa”.
“Ada suami kepada seorang pelancong China memberitahu kami yang dia hampir tak mengenali isterinya selepas transformasi,” katanya.
Menurut beliau yang julung kali menyertai program sebegitu, ia merupakan pengalaman yang banyak membuka mata.
“Dakwah itu boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. Cuma perlu berani mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan.
“Tahniah Akademi DUAT atas usaha dakwah kreatif menyantuni pengunjung bukan Islam dalam suasana yang santai dan harmoni,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!