Kedah tidak akan baharui lesen jual vape mulai 2026

Mejor (B) Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak akan mengeluar lesen baharu atau memperbaharui lesen premis jualan rokok eletronik (vape) bermula 2026.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, keputusan itu dipersetujui oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Kedah.

“Semua PBT telah mencapai kata sepakat hanya akan membenarkan pengeluaran lesen premis perniagaan vape sehingga penghujung tahun ini sahaja.

“Manakala selepas tempoh tersebut, tiada lagi lesen baharu akan dikeluarkan dan lesen sedia ada juga tidak akan diperbaharui,” jelas beliau di sini.

Terdahulu, Mansor mempengerusi satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan menguatkuasa pemberian lesen perniagaan vape di seluruh PBT di Kedah.

Kata beliau, mesyuarat itu diadakan selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung pendirian kerajaan negeri terhadap penjualan vape.

Sanusi pada sidang media Rabu lalu, menyatakan pendirian akan memerangi penyalahgunaan dadah termasuk menghapuskan laluan-laluan penyaluran najis berkenaan.

Jelas beliau, terdapat sejenis dadah yang hanya boleh diperolehi dengan harga RM10, dicampur bersama cecair di dalam vape sebagai bahan sedut.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Kedah tegasnya, akan menyusuli tindakan negeri lain seperti Terengganu dan Perlis yang telah mengumumkan pengharaman jualan vape bermula Ogos depan di negeri berkenaan.

Sehubungan itu kata Mansor, tindakan kerajaan negeri untuk tidak membaharui serta tidak mengeluarkan lesen penjualan vape bermula tahun hadapan, sebagai usaha memerangi punca penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa kini.

“Kita akan tutup gelung-gelung air, agar air boleh kering, begitu juga dengan dadah ini, kita tutup punca penyebaran, mudah-mudahan gejala tidak sihat ini dapat dibasmi ataupun dikurangkan,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -