KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) bertekad menyelesaikan semua hutang sebelum memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Hasrat itu juga dilihat sebagai langkah penting agar pasukan Kijang Emas tidak tertekan dengan isu yang boleh menjejaskan prestasi mereka di atas padang.
Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah menegaskan perkara tersebut ketika ditemui media sempena program Fan Ngopi Bersama CEO KDN FC di sebuah kafe, di sini malam tadi.
Menurutnya, pihak pengurusan sedang bertungkus-lumus menyediakan beberapa pelan penyelesaian bagi menoktahkan masalah tunggakan yang membelenggu pasukan itu.
“Setakat ini, hampir 100 peratus tunggakan gaji telah dibayar oleh pihak pengurusan kepada pemain,” katanya.
Tambah beliau, pembayaran juga perlu dibuat mengikut prosedur bagi memastikan ianya sampai kepada pihak yang benar-benar berhak.
“Kalau ada hutang betul, memang kena bayar. Tetapi kalau nak bayar mesti kena ada prosedur.
“Kena bayar kepada siapa, kadang-kadang bayar kepada orang tengah, namun orang tengah tidak bayar kepada pemain terlibat.
“Perkara seperti itu pernah terjadi, kita perlu berhati-hati untuk kali ini. Ini adalah salah satu komitmen kita untuk musim ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata KDN FC memberi penekanan kepada aspek kestabilan dan prestasi pasukan bagi menghadapi musim baharu.
Katanya, dua elemen itu menjadi asas penting untuk melonjakkan prestasi pasukan pada musim akan datang.
Menurutnya lagi, pengurusan pasukan serius dalam menyelesaikan tunggakan yang berkaitan dengan hutang pemain serta staf pengurusan.
“Kita tidak mahu menganiaya sesiapa dan KDN FC komited dalam menyelesaikan tunggakan gaji dan ianya mesti diselesaikan.
“Sekarang inipun kita telah selesaikan bayaran tunggakan berkenaan, namun kita tidaklah nak meletakkan berapa peratus bayaran telah dibuat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!