Gua Cenderawasih: Tunggu pandangan diberikan pakar

Kerja pembangunan dihentikan sementara

Asrul Aimran Abd Jalil
- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, isu Gua Cenderawasih akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dijadualkan berlangsung pada hari Rabu, esok.

- Advertisement -

Katanya, perkara itu memerlukan penelitian menyeluruh agar pembangunan dan pemeliharaan khazanah alam dapat dilaksanakan secara seimbang dan berhemah.

“Kerajaan negeri akan perhalusi isu tersebut secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk agensi teknikal dan pakar geologi,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyarankan pihak yang mendakwa kewujudan fosil berusia jutaan tahun di Gua Cenderawasih agar mengemukakan bukti saintifik yang kukuh berhubung perkara itu.

Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, sehingga kini MPK belum menerima sebarang maklumat teknikal atau dokumen rasmi yang dapat menyokong dakwaan kewujudan fosil di gua yang dikatakan mempunyai nilai tinggi dari segi geologi itu.

Ujarnya, kerja-kerja pembangunan di lokasi berkenaan telah dihentikan sejak 30 April lalu bagi memberi laluan kepada penilaian semula dan pandangan daripada pakar yang mempunyai autoriti serta kelayakan dalam bidang berkaitan.

“Usaha pembangunan atau pengoperasian kafe di Gua Cenderawasih dilaksanakan dengan niat yang baik dan bukan untuk menjejaskan khazanah geologi serta alam semula jadi di kawasan gua berkenaan.

“Sekiranya benar wujud fosil seperti dakwaan maka pihak terbabit perlu tampil dengan bukti yang kukuh kerana MPK tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan andaian semata-mata,” katanya.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sebelum ini, mengumumkan penangguhan pembinaan kafe berkenaan bagi meneliti beberapa peraturan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan geotapak. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -