Negara adidaya tanpa pusara di Afghanistan

- Advertisement -

PLOT sejarah kekuatan negara adidaya yang cuba menawan Afghanistan gagal dalam perang panjang hingga menyerah kalah tanpa maruah. Afghanistan telah membuktikan bahawa perjuangan tulen dalam mempertahankan tanah air dapat menewaskan teknologi persenjataan canggih sehingga mendapat jolokan ‘kuburan kaisar’ apabila tewasnya tiga adidaya dunia.

- Advertisement -

Adikuasa atau adidaya merupakan kuasa besar dunia, iaitu Inggeris, Soviet Union dan Amerika Syarikat angkat kaki tanpa pusara di pergunungan, batuan dan gua-gua di Afghanistan kerana semangat nasionalisme tinggi dalam kalangan warga lokal.

Namun dalam mengulas sikap dan nilai jati diri dan patriotisme serangan brutal Israel terhadap rakyat Palestin disifatkan kejam sekali malah dilabel Israel sebagai penjenayah perang dan tidak pernah berlaku meskipun mereka berperang dengan tiga negara adidaya sebelum ini. Mereka melanggar semua peraturan perang sekali gus memusnahkan kredibiliti organisasi dunia.

Afghanistan, iaitu ‘Afghan’, ertinya alam dalam bahasa Sanskrit dan ‘stan’ sinonim tempat dalam bahasa Parsi. Afghanistan dalam sejarah orang Pashtun yang bermaksud ‘tanah orang Afghan atau Pashtun’ berkeluasan 652,860 kilometer persegi.

Kebanggaan Afghanistan dikesan dalam variasi budaya, bangsa, keturunan, dan kebebasan. Pecahan kaum dan etnik Pashtun 42 peratus, Tajik 27 peratus, Hazara 8 peratus, Uzbek 9 peratus, Aimaq, Baloch, Turkmen, Nuristani, Arab, Pamiri, Gurjar dan Pashayi masing-masing kurang 5 peratus populasi penduduk. Majoriti kaum Pashtun atau Pashto, ‘Pakhtun’, ‘Pathan’ atau ‘Paxtun’ yang dikenali melalui ethno-linguistik yang terdapat di timur dan selatan Afghanistan, Balochistan dan wilayah Pakistan. Manakala agama Islam dianuti 99 peratus populasi penduduk, iaitu kira-kira 85 peratus Sunni dan 15 peratus Syiah.

Orang Afghanistan lebih dikenali sebagai orang tanah tinggi, iaitu ‘highlanders’ yang menjalani kehidupan bercampur baur antara merendah diri dan kebimbangan serta memandang tinggi atas hierarki peribadi, taat setia pada suku kaum dan toleransi antara kekerasan atau perdamaian dalam menangani pertikaian dan berantakan dalam kasus tanah air dan nusa.

Sejak era Paleolitik Tengah dikesan penempatan manusia di lokasi strategik di Laluan Sutera menghubungkan pelbagai budaya di Timur Tengah dan bahagian lain di Asia. Gerakan waktu tidak menyekat mobiliti pelbagai bangsa mendiami habitat Afghanistan. Malahan menyaksikan dinamika kempen ketenteraan, terutamanya oleh Alexander Agung, Arab Muslim, Mongol, British, Soviet Rusia, dan dalam era moden dengan kuasa-kuasa Barat. Tambahan ia menjadi pusat pelbagai empayar, seperti Kushan, Hun Putih, Samaniyah, Saffariyah, Ghaznawiyah, Ghoriyah, Khilji, Mughal, Hotak dan Durrani.

Negara ini mempunyai sejarah yang kompleks dengan citra budaya, pelbagai bahasa dan monumen serta arca. Meskipun banyak monumen sejarah telah rosak dalam peperangan. Kedua-dua binaan Buddha di Bamiyan yang terkenal telah dimusnahkan oleh Taliban, yang dianggap sebagai berhala. Namun ahli-ahli arkeologi masih mencari peninggalan Buddha sejak abad ke-2 di bahagian lain yang memperlihatkan bahawa Buddhisme duluan meluas di Afghanistan. Tempat-tempat bersejarah termasuk bandar-bandar Herat, Kandahar, Ghazni, Mazar-i-Sharif dan Zarang. Minaret Jamdalam Sungai Hari lembah adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sementara jubah pakaian Muslim yang dipercayai milik baginda Nabi Muhammad SAW ada disimpan di dalam makam Jubah di Kandahar, sebuah bandar yang diasaskan oleh Iskandar dan model urbanisasi pertama Afghanistan. Benteng Alexander di bandar barat Herat telah diubah suai akhiran ini kerana upaya menarik pelancong. Shrine Hazrat Ali di utara pula dipercayai menjadi lokasi Khalifah Ali, sahabat Nabi Muhammad SAW telah dikebumikan. Kementerian Afghanistan Penerangan dan Kebudayaan mengubah suai 42 tapak bersejarah di Ghazni sesuai sebagai ibu kota tamadun Islam dan Muzium Negara Afghanistan terletak di Kabul.

Umum mengetahui bahawa Afghanistan merupakan sebuah negara kecil terletak di Asia Selatan dan Asia Tengah yang mempunyai populasi penduduk semasa lebih 43.6 juta orang. Ia bersempadan dengan Pakistan di selatan dan timur; Iran di barat; Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikistan di utara; dan China di timur laut jauh telah lama menjadi medan tempur bagi kekuatan kuasa besar di balik pergunungan tersembunyi sejarah panjang yang kerap mencorek ambisi atau hasrat kolonial.

Sementara hasil bumi, bahan mineral merupakan sumber asli yang dimiliki oleh Afghanistan, iaitu tungsten ialah sejenis logam dalam batuan asid intrusif seperti granit dan mineral lain, bijih timah, barium, merkuri, tembaga, emas dan lain-lain. Bahan-bahan mineral semula jadi ini menjadikan Afghanistan sebuah negara yang makmur dan berdaya maju.

Amerika di antara negara terawal melakukan aktiviti perlombongan mineral di beberapa kawasan penaklukannya tetapi gagal kerana ancaman Taliban. China pula giat mengupayakan perlombongan dengan membawa pelbagai jentera berat dan tenaga manusia dari tanah besar China. Namun Afghanistan mengambil subjek dari Uzbekistan dan Tajikistan yang memaksimumkan keuntungan sumber tetapi mengikut kapasiti dan merangka suatu plan signifikan bagi menggelakkan manipulasi hasil bumi oleh barat seperti di Afrika.

Sejarah politik negara moden Afghanistan bermula dengan dinasti Hotak dan Durrani pada abad ke-18. Lanjutannya, Afghanistan menjadi negara penyangga dalam “Permainan Besar” di antara British, India dan Empayar Rusia pasca abad ke-19. Pada 2021, Afghanistan secara de facto ditadbir oleh Emiriah Islam Afghanistan yang dikuasai Taliban dalam bahasa Pashto:Da Afghanistan Islami Amarat, berikutan kejatuhan Republik Islam Afghanistan yang diakui antarabangsa pada 15 Ogos 2021.

Banyak tamadun terbentuk di Afghanistan melalui interaksi asing dan peperangan. Ia menjadi habitat pelbagai orang sepanjang zaman, antaranya orang Iran purba yang berperanan dominan bahasa Indo-Iran. Di pelbagai tempat pula, tanah disatukan menjadi empayar serantau Afghanistan yang besar, antaranya Empayar Achaemenid, Empayar Macedonia, Empayar India Maurya, dan Empayar Islam.
Manakala kerajaan yang wujud di Afghanistan, seperti Greco-Bactria, Kushan, Hephthalite, Kabul Shahi, Saffarid, Samanid, Ghaznavid, Ghurid, Khilji, Kartid, Timurid, Mughal, dan akhirnya Hotak dan Durrani, iaitu dinasti yang memulakan pentadbiran negara moden berasaskan kuasa politik.

Afghanistan menjadi salah satu pusat utama dunia Islam dalam era kegemilangan Islam. Menjelang abad ke-11, Mahmud Ghazni atau Yamin ad-Dawlah Abdul-Qasim Mahmud bin Sabuktegin yang lebih dikenali sebagai Sultan Mahmud Ghaznawi dilahirkan di kota Ghazna. Beliau menjadi penguasa kerajaan Ghaznavid menggantikan bapanya, Sabuktigin yang berketurunan Turki dan berkhidmat sebagai ketua tentera kerajaan Samaniyyah dan menerajui takhta dinasti itu pada tahun 977M.

Semasa penguasaan era Ghaznavid, Ghurid dan Timurid, rantau ini melahirkan banyak monumen seni bina Islam dan nukilan sains dan sastera. Penguasaan dinasti Ghaznavid dikalahkan dan digantikan oleh Sultan Muhammad dari susur galur dinasti Iran di kawasan Ghor yang dibantu kelompok saki baki pemerintah Hindu yang diislamkan dan wilayah yang lebih luas, dengan pengecualian Kafiristan, iaitu orang Nuristan yang beragama Hindu Kuno, dan non-Muslim yang mendiami wilayah tersebut. Mereka berkerabat erat dengan suku Kalash, suku yang sangat berdikari atas budaya, bahasa dan agamanya.

Pada 1219M, Genghis Khan dan Mongol memimpin bala tentera menakluki rantau ini dan tenteranya telah membinasakan kota-kota Khorasan, iaitu Herat, Balkh dan Bamyan. Kemusnahan yang berpunca oleh Mongol memaksa ramai penduduk tempatan mobiliti ke pedesaan untuk menjalani sara hidup dalam pertanian. Pemerintahan Mongol di barat laut ketika Dinasti Khilji ditadbir oleh puak Afghanistan selatan, iaitu Hindu Kush sehingga serangan ke atas Timur, dan menubuhkan Dinasti Timurid pada 1370.

Catatan silam raja-raja Afghanistan berasal daripada puak Abdali dari suku etnik Afghan, dan nama puak tersebut ditukarkan kepada ‘Durani sejak Ahmad Shah menaiki takhta. Pada kurun ke-20, sebanyak sebelas raja-raja Afghanistan telah diturunkan takhta menerusi cara-cara yang tidak demokratik: dibunuh 1919, 1933; dihukum mati, 1929, 1978/79; meninggalkan takhta 1929; dibuang, 1973; disingkir 1987 dan diguling,1992, 1996.

Sementara pada abad ke-19 Inggeris merupakan empayar kolonial di Afghanistan sebagai wilayah strategik. Mereka khuatir Soviet Union di tengah Asia dapat mengancam kekuasaan mereka di India dan memulakan perang Anglo-Afghanistan pertama tahun 1839. Inggeris menginvasi Afghanistan dengan pasukan besar berhasil menakluk Kabul dan mendirikan pemerintahan boneka Shahsuja Durani tetapi hanya seketika kerana rakyat Afghanistan tidak tunduk kekuasaan asing telah melancarkan pertempuran sengit melalui tektik gerila.
Pasukan Inggeris berundur dari Kabul tahun 1842 menuju Jalalabad dan digempur pasukan lelaki kibir atau kebal menyebabkan 16 500 yang berundur hanya seorang yang selamat, iaitu doktor bernama Willam Brighton. Kekalahan ini menjadi aib besar bagi Inggeris yang akhirnya mengaku kemerdekaan Afghanistan dua dekad kemudian.

Inggeris kembali melalui perang Anglo-Afgha kedua di antara British dan Emirat Afghanistan dari 1870 hingga 1880. Perang itu adalah sebahagian daripada strategi licik di antara empayar British dan Rusia telah mengorbankan 10,000 nyawa, iaitu 2,000 waktu tempur dan bakinya akibat penyakit.

Meskipun Inggeris Britain menang beberapa pertempuran tetapi menghadapi perlawanan hebat dari rakyat Afghanistan terutama di bawah pimpinan Ayub Khan. Inggeris gagal menakluk Afghanistan secara penuh dan berundur menyerah kuasa kepada pemerintahan tempatan. Perang kedua dan ketiga Inggeris-Afghan 1919, menandai berakhir ambisi Inggeris di Afghanistan melalui Emir Raja Amanullah mendeklarasikan kemerdekaan mutlak dengan penjanjian Rawal Pindi. Dengan solidariti Emir Mohammed Zahir Shah untuk memodenkan Afghanistan selepas rampasan kuasa pada 1970-an dan beberapa perang saudara melanda kebanyakan negara, yang diceroboh oleh Soviet pada tahun 1979.

Akhir abad ke-20 Soviet Union pula mencampuri urusan Afghanistan apabila kekacauan politik dalaman tahun 1979 dengan perebutan kekuasaan di antara fraksi komunis Soviet Union yang khuatir pengaruh Afghanistan di kawasan serantau telah memutuskan untuk menginvasikan atau tindakan geopolitik di Afganistan.

Operasi ketenteraan besar-besaran pada Disember 1979 dengan tujuan mendukung pemerintahan komunis pro-Soviet dan menghancurkan kelompok pemberontak Mujahidin. Serangan udara dan darat secara brutal dari Soviet tidak mampu menundukkan para pejuang Afghanistan.

Namun invasi ini menjadi mimpi buruk Soviet Union apabila kelompok Mujahidin mendapat dukungan senjata dan dana Amerika Syarikat, Pakistan dan negara Barat menggunakan tektik gerila yang mematikan di medan Afghanistan yang keras mula dari pergunungan hingga gua-gua sempit yang menjadi sekutu alami pejuang.

Sementara itu tekanan antarabangsa terhadap Soviet terus meningkat kerana perang berdarah selama satu dekad pada tahun 1988 memaksa Soviet menandatangani perjanjian Geneva yang menetapkan penarikan pasukannya dari Afghanistan, Februari 1989. Kekalahan yang memalukan dan faktor kejatuhan Soviet sebagai negara adidaya. Ini meninggalkan kekosongan kekuasaan yang kemudian diisi oleh kelompok bersenjata lokal termasuk Taliban.

Kemuncak Taliban 1990-an berakar dari kekacauan pasca penarikan Soviet. Kelompok militan Taliban yang awalnya didukung oleh jaringan madrasah di Pakistan menjadi kekuatan luar biasa yang menguasai banyak wilayah di Afghanistan.

Pada tahun 2001 pasca tragedi serangan September, Amerika Syarikat pula melancarkan invasi ke Afghanistan untuk menggulingkan Taliban dan menghancurkan jaringan Al Qaeda yang beroperasi di bawah perlindungan Taliban. Operasi ketenteraan “Eduring Freedom” bersama-sama Britain pada awalnya Amerika Syarikat (AS) mencapai kemenangan mutlak dalam waktu singkat yang mengorbankan puluhan ribu, majoritinya orang awam tetapi Taliban berjaya menghalangnya seperti yang terjadi pada Inggeris dan Soviet Union.

Kemenangan awal pihak kolonial hanya ilusi kerana Taliban tidak hilang tetapi berundur mencari tapak di pedesaan lalu menubuhkan oraganisasi untuk ulang kekuatan dan melancarkan perang gerila yang berpanjangan selama dua dekad. Strategi Taliban serangan sederhana tetapi mematikan pihak musuh asing. Mereka memaksimun pengetahuan dan pengalaman medan tempur Afghanistan untuk melancarkan serangan hendap di setiap desa, gua dan jalan berbatu menjadi jebakan yang siap menghancurkan pasukan asing.

Taliban menyebar luas propaganda dan menampilkan bahawa Taliban sebagai pelindung tradisi dan tanah air Afghanistan. Naratif ini membakar semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat terutama di wilayah pedesaan. Pada Ogos 2021, dunia menyaksikan momen atau waktu dramatis ketika AS menarik seluruh pasukan tenteranya dari Afghanistan. Bandaran Kabul berubah menjadi pemandangan kacau bilau, helikopter berlegar-legar di atas bangunan kedutaan untuk mengevakuasi diplomat yang sudah pun panik.

Sementara ribuan rakyat Afghanistan bersolidariti keluar rapat umum atau unjuk rasa malah bergayut di badan pesawat untuk melarikan diri. Peralatan militer yang bernilai jutaan dolar ditinggalkan AS menjadi rampasan perang yang mereka pamerkan dengan bangga. Sebaliknya AS dicanang kalah perang hingga menjatuhkan reputasinya peringkat global. Tempoh 20 tahun AS telah membiayai perang lebih 2.3 trillion dollar AS dan lebih 2,400 tentera terkorban.

Afghanistan kembali ke tangan Taliban membuktikan bahawa tanah Afghanistan gagal ditakluki sekalipun negara kuasa besar atau adidaya kerana Afghanistan mempunyai cara unik melawan penjajah. Taliban bukan sekadar militer tetapi simbol kekuatan lokal dengan sumber daya terhad mampu mengalahkan negara adidaya yang memiliki teknologi perang dan dana tidak terbatas.

Dalam peperangan dan persengketaan sama ada puak lokal atau orang asing saling menghancurkan atau internesin telah menjadi norma sejak dahulu. Sifat individualistik ini suatu parameter menjadikan betapa sukar warga asing menakluki Afghanistan. Pola kesukuan menjadi wadah interaktif dengan kumpulan besar baik lokal mahupun negara yang secara geografi sukar bagi masyarakat berkomunikasi secara verbal dan luas kerana alamiah pergunungan atau highlanders tetapi suku Pashtun dan orang nomad Afghanistan melestarinya dari sudut pandangan materialistik, suatu gaya hidup yang tidak rumit.

Penduduknya melalui kehidupan jerih perih dan kesulitan kerana alam sekitar menjadi sekutu alamiah namun memiliki semangat perjuangan kental. Mereka memahami bahawa perang bukan tentang senjata tetapi sifat ketahanan, kesabaran dan kemampuan membaca medan tempur.

Oleh itu, Afghanistan mengingatkan bahawa kekuatan militer besarpun tewas oleh perlawanan kecil tetapi gigih melawan musuh yang akhirnya berkubur tanpa pusara dan ambisi besar hanya mati di Afghanistan. – HARAKAHDAILY 17/5/2025

Dr Zulkeflee Yaacob

Penulis ialah psikososio yang juga Pakar Penasihat Wanita Kelantan.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -