KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Nurul Islam Bin Mohamed Yusoff, menasihati UMNO untuk mempertimbangkan kedudukan mereka dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sambil menggesa parti itu agar segera “bangkit dari tidur yang lena”.
Dalam satu hantaran di laman Facebook, beliau mempersoalkan tindakan DAP dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya bersikap “tamak kerusi”, khususnya di negeri-negeri seperti Melaka dan Johor di mana Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempunyai pengaruh kuat.
“Sebagai contoh, dalam DUN Melaka, BN kuasai 21 daripada 28 kerusi. Tiba-tiba DAP nak minta 14 kerusi – bermakna BN kena korbankan 7 kerusi. Malah ada kerusi ini majoriti Melayu. Ini kalau jadi sungguh memang pengkhianatan besar buat orang Melayu,” katanya.
Nurul Islam turut memuji keberanian Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang lantang membantah tuntutan DAP, namun hairan apabila Presiden UMNO dilaporkan menegurnya agar “kawal emosi”.
“Emosi? Aku pun speechless,” katanya sambil menyindir tindak balas pucuk pimpinan UMNO yang dianggapnya terlalu tunduk dalam gabungan kerajaan.
Beliau juga membangkitkan isu pembahagian kerusi di Wilayah Persekutuan, di mana UMNO dikatakan hanya menuntut lima daripada 13 kerusi Parlimen tetapi tetap tidak diberikan ruang oleh PH.
“Tempat PH kuat, mereka tak mahu berkongsi dengan BN. Tapi tempat BN kuat, mereka gelojoh nak ‘makan besar’,” ujarnya sinis.
Dalam hantaran sama, beliau memberi amaran bahawa UMNO semakin hilang pengaruh di mata pengundi Melayu dan kemungkinan besar akan ditinggalkan oleh PH selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“UMNO aku tengok dalam gabungan Kerajaan Madani macam melukut di tepi gantang. Jangan sampai dah jadi kain buruk buat lap kaki, baru nak menyesal,” tegasnya.
Hantaran itu adalah amaran awal terhadap UMNO agar menilai semula kedudukannya dalam landskap politik semasa, terutama menjelang PRU akan datang. – HARAKAHDAILY 15/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!