Tanah Haram dikawal ketat, operasi besar sekat jemaah tanpa dokumen sah

Mekah
- Advertisement -

MAKKAH: Kawalan ketat mula dilaksanakan pihak berkuasa Arab Saudi menjelang 20 hari sebelum wukuf, dengan pelbagai operasi pemeriksaan dan semakan dokumen bagi menyekat kemasukan jemaah tanpa kebenaran sah ke Tanah Haram.

- Advertisement -

Pemeriksaan pertama dilakukan di pintu masuk Kota Makkah di mana setiap bas yang membawa jemaah diperiksa secara teliti oleh tentera menggunakan sistem kad Nusuk.

Bagi kenderaan persendirian pula, mana-mana individu yang gagal mengemukakan kad akses sah diarah berpatah balik serta-merta dan tidak dibenarkan memasuki Kota Suci itu.

Tindakan lebih tegas turut dilakukan di pintu masuk Masjidilharam apabila pengimbasan dilakukan semula dan mereka yang gagal melepasi tapisan bukan sahaja dihalang masuk, malah boleh ditangkap.

Menurut maklumat, operasi tangkapan terhadap warga asing atau jemaah tanpa dokumen sah kini berlaku hampir setiap hari, termasuk di kawasan hotel penginapan.

Tentera Arab Saudi sesekali dilihat membuat semakan kad di pintu masuk hotel untuk memastikan hanya individu yang memiliki dokumen sah dibenarkan tinggal di situ.

Mereka yang ditahan kemudiannya dihimpunkan di Jeddah, dan dari situ, individu terbabit perlu menyelesaikan sendiri urusan berkaitan.

Pihak tentera dilihat sangat tegas dan ada kalanya berpendirian keras dalam melaksanakan tugas, memandangkan mereka berhadapan pelbagai bangsa dari seluruh dunia.

Tiada istilah tolak ansur atau budi bicara, malah sebarang cubaan berkompromi atau rundingan tidak dilayan.

Dengan situasi semasa ini, peluang untuk individu menunaikan haji tanpa izin sah seperti melalui visa umrah kini sangat sukar, melainkan mereka benar-benar ‘licik’ dan berani mengambil risiko tinggi.

Cubaan untuk berinteraksi dengan askar, termasuk bergambar bersama, juga tidak mendapat layanan mesra, mungkin disebabkan keadaan cuaca yang panas dan tekanan tugas tinggi menjelang musim haji. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -