
KANGAR: Penyatuan fikrah umat Islam merupakan asas kepada kekuatan bangsa dan negara, khususnya dalam menghadapi kezaliman kuasa besar dunia yang terus menekan negara-negara membangun seperti Malaysia.
Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menegaskan, usaha menyatupadukan pemikiran umat adalah keutamaan dalam perjuangan politik Islam pada hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berkata, ia agar umat tidak terus terjerumus dalam perangkap musuh-musuh Islam yang mahu melihat perpecahan dan kelemahan berpanjangan.
“Kita kena kenal musuh. Bila semua setuju ini musuh, barulah kita boleh bersatu. Fikrah kita sama, baru lahir kekuatan. Sekarang tugas kita ialah menyatupadukan pemikiran umat,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Negeri Perlis, di sini.
Tambah beliau, PAS telah berusaha menyatukan umat melalui kerjasama politik sebelum ini, namun penyatuan tersebut tidak bertahan apabila rakan politik gagal menjunjung prinsip Islam sebagai dasar utama.
“Dulu kita cuba dengan Umno, nampak boleh ‘sat’ (sekejap). Tapi lepas tu dia tak ketahuan hala. Sekarang melalui Perikatan Nasional, kita teruskan usaha, tetapi mestilah berlandaskan Islam,” ujarnya.
Tuan Guru turut mengulas pengalaman PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat, yang menurutnya tidak dapat menerima prinsip perjuangan Islam dipegang PAS.
“Kami dah tahu perangai DAP masa dulu. Dia kata nak ikut cara Umar Abdul Aziz, tapi bila dapat kuasa, dia sendiri yang golek rata (berubah-ubah). Tak boleh harap dah,” katanya.
Kuasa besar yang menindas
Mengulas perkembangan semasa, beliau menyentuh tindakan Amerika Syarikat yang kembali melaksanakan dasar tarif tinggi ke atas negara luar, termasuk Malaysia, sebagai bentuk kezaliman ekonomi yang berat sebelah.
“Amerika ni zalim. Dia hidup mewah, tapi tindas negara lain. Tak fikir langsung pasal kebajikan manusia. Kita nampak depan mata. Takkan kita nak jadi penonton?” tegas beliau.
Dasar tarif keras yang mula diperkenalkan semasa pentadbiran Presiden Donald Trump sekitar 2018 telah mencetuskan perang dagangan global.
Kemudian, dasar itu diteruskan di bawah termasuk pengumuman terbaharu melibatkan tarif ke atas bateri kenderaan, semikonduktor, dan produk teknologi tinggi dari China.
Keadaan tersebut secara tidak langsung turut memberi kesan kepada rantaian bekalan dan industri di Malaysia.
“Kita kena runtuhkan sistem ni, walaupun susah. Tapi tanggungjawab tu ada pada kita. Mula sikit-sikit. Doa, usaha. Bila kita buat qunut nazilah, sembahyang hajat, siapa sangka pertahanan Israel boleh terbakar habis dan Amerika pun tak mampu selamatkan,” katanya yakin.
Pendidikan Islam asas kekuatan ummah
Dalam menghadapi cabaran kuasa besar dunia, beliau menegaskan bahawa penyelesaian utama ialah membina kekuatan rohani dan kefahaman Islam dalam masyarakat.
Jelas beliau, Pendidikan Islam menjadi asas membina umat yang taat kepada Allah dan bersedia menghadapi musuh dengan penuh keikhlasan.
“Di Perlis ni negeri kecil saja, tapi kita ada puluhan PASTI, sekolah rendah, sekolah menengah, dan maahad tahfiz. Kita tanam dalam ahli supaya mentaati Allah, hidup bersyariat. Itu yang melayakkan kita menerima pertolongan Allah,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa kekuatan sebenar bukanlah terletak pada jumlah atau kuasa politik semata-mata, tetapi pada ketaatan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Ingat Perang Badar. (Hanya) 313 (tentera Islam) lawan seribu (tentera musyrikin). Menang sebab doa Nabi. Nabi kata kalau puak ini kalah, tak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu ya Allah. Itu rahsia kekuatan. Kita kena belajar dari sejarah,” tegasnya.
Tuan Guru turut menyeru umat Islam agar kembali menyatukan fikrah, membina kekuatan dalaman melalui pendidikan dan doa, serta memperkukuh kefahaman terhadap musuh sebenar yang sentiasa merancang untuk merobohkan Islam dari pelbagai sudut. — HARAKAHDAILY 9/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!