284 isu keluarga Mawaddah Centre tangani sejak 2021

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 284 kes berkaitan masalah kekeluargaan berjaya ditangani Mawaddah Centre sejak penubuhannya pada tahun 2021 hingga Mei 2025.

- Advertisement -

Pusat ini ditubuhkan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ia berperanan sebagai pusat rujukan dan khidmat nasihat kepada masyarakat terutamanya berkaitan kekeluargaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim, daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 235 kes dikendalikan terus oleh pejabat Mawaddah Centre.

“Ini membuktikan peranan aktif pusat ini sebagai penghubung utama masyarakat kepada saluran bantuan yang sesuai,” katanya melalui satu kenyataan media.

Tambahnya, beberapa kes turut dirujuk dan diberi perhatian oleh agensi lain seperti Mahkamah Syariah, Jabatan Bantuan Guaman, Mentari HUSM, NGO Rumah Anak Yatim, JAHEAIK, LPPKN dan Rumah Generasi Ku Sayang.

Katanya, penubuhan Mawaddah Centre adalah respons terhadap isu-isu sosial seperti penderaan, pengabaian, pasangan toksik, pengaruh dadah dan tekanan hidup yang membawa kepada tindakan ekstrem seperti bunuh diri.

“Pusat ini menyediakan khidmat nasihat percuma secara bersemuka dan atas talian, dikendalikan oleh seorang penyelia, lima fasilitator dan empat kaunselor sukarelawan,” ujarnya.

Menurut beliau, Mawaddah Centre beroperasi setiap Ahad hingga Khamis dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala talian hotline 011-5985 8281 boleh dihubungi pada bila-bila masa.

Selain perkhidmatan nasihat, pusat itu turut menggerakkan pelbagai program pembangunan sosial dan kekeluargaan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Antaranya ialah Kelas Mengaji Al-Quran kepada 69 kanak-kanak, Kem Akil Baligh yang disertai 157 remaja, serta program kepimpinan dan pembinaan sahsiah remaja yang melibatkan 171 orang peserta.

Bagi golongan dewasa, khususnya pasangan suami isteri, program seperti Bengkel Persediaan Ibu Hamil telah memberi manfaat kepada 132 pasangan.

Program lain seperti Bengkel Komunikasi Kreatif, Slot Tanya Khabar, Ziarah Mahabbah serta Bengkel Intervensi Sokongan Komuniti pula telah melibatkan lebih 100 orang peserta.

“Mawaddah Centre juga menyantuni warga emas di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, selain menyampaikan bantuan berbuka puasa kepada lebih 2,000 orang awam sejak 2023,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri berharap pusat itu terus memainkan peranan sebagai institusi penting dalam usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan institusi kekeluargaan Islam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -