‘Mesyuarat Exco 250 kali pun ‘depa’ kata tak buat kerja?’

Hanya kerana main kabaddi dua kali

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan bahawa mesyuarat mingguan Ahli Majlis Kerajaan Negeri telah diadakan sebanyak 52 kali setahun, melibatkan 250 kali sepanjang negeri ini ditadbir di bawah beliau.

- Advertisement -

Manakala beliau juga mengepalai 22 jawatankuasa di peringkat negeri, di mana semuanya berjalan lancar kerana adanya pertemuan dan mesyuarat membincangkan urusan berkaitan.

Tetapi menurutnya, amat malang ada pihak yang membuat spekulasi  murahan dengan mengatakan beliau tidak melakukan apa-apa kerja, sebaliknya membuang masa dengan perkara lain.

“Contoh saya main kabaddi, ‘depa’ (mereka) kata saya main kabaddi saja, tak buat apa. Dalam tempoh lima tahun saya main kabaddi dua kali saja.

“Mesyuarat Exco dalam tempoh setahun 52 kali, lima tahun 250 kali. Pasai apa tak ambil 250 kali mesyuarat Exco tu? Ambil kabaddi dua kali kononnya itu yang saya buat.

“Kabaddi saya main masa kempen pilihan raya, hari cuti. Main Chingay tengah malam, mana ada orang buka pejabat tengah malam. Nyanyi pula di Rumah Terbuka Aidilfitri, itu pun saya menyanyi baru empat kali tahun ini,” kata beliau.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media pada sidang akhbar  selepas mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya lagi, jentera kerajaan berjalan dengan lancar dan tiada kertas-kertas kerja yang tidak dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk kelulusan.

“Mungkin kerana Kedah tak ada isu atau isu-isu berat untuk dimainkan oleh ‘pemain- pemain media’ yang saya pun tak tau (tahu) nak kata apa sebab. Allah pun dah sebut banyak kali di dalam Al-Quran berkenaan balasan orang yang kerjanya gembar gembur berita tak betul,” tambahnya lagi.

Seperkara lagi, Sanusi turut kesal dengan satu media atas talian yang baginya merupa pembenci beliau nombor satu, yang membuat spekulasi mengaitkan isu penutupan kilang tayar Continental di Alor Setar adalah disebabkan beliau.

Walhal tegasnya, pihak kilang Continental itu sudah beberapa kali datang ke Pejabat Menteri Besar berjumpanya, malah pada hari ini pula mengadakan perjumpaan bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah.

“Kesimpulan daripada penutupan kilang tayar itu ialah atas ‘businessman over’ bukan pasai benci Sanusi. Perkara ni pun kalau kita tak ‘layan’, ada pula orang percaya, tak ‘habaq’ (beritahu) orang tak tau. ‘Habaq’ pula, nanti orang kata layan picisan.

“Tapi dalam zaman orang bergantung maklumat di TikTok, di Facebook picisan pun akan dilayan. Inilah yang menyesatkan orang ramai.

“Saya harap mereka ini insaf dan ingat kepada balasan Allah di akhirat nanti di mana penyeru kepada kesesatan, buat berita tak betul, fitnah orang, ada ancaman keras daripada Allah SWT untuk orang macam ni. Kita tulis yang betul saja,” bidasnya lagi.

Mengulas lanjut, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, pihaknya mengalu-alukan sekiranya pihak berkenaan mempunyai hujah untuk dikemukakan kerana baginya membina naratif sendiri dengan tujuan putar isu sebenar adalah kerja yang salah.

Malah jelasnya, di dalam dunia serba canggih ini, hujah perlu dilawan dengan hujah, baharulah ia boleh mendidik masyarakat meningkatkan kemajuan.

“Umpama kata Imam Syafie, beliau sanggup berlawan dengan 10 orang yang cerdik daripada berlawan dengan seorang yang bodoh. Ikutnya orang bodoh tak payah lawan tapi ada juga yang terpengaruh dan perkara ini malah semakin berkembang kerana tiada hujah.

“Maka direka benda-benda tak betul begini. Kena ‘value’ dengan adil. Kalau kerja dia cari benda buruk , kita bagi dia jadi lalatlah, kerja dia cari tahi dengan bangkai saja,” kata Sanusi lagi. – HARAKAHDAILY 30/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -