
TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Pahang terus konsisten mendesak Kerajaan Negeri Pahang agar segera melaksanakan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.
Ini selari dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah pada November tahun lalu yang agar vape diharamkan secara ‘total’.
Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih al-Shubrawi berkata, pengundi berhak memilih dan dengan kuasa yang diberi, pihak pemerintah bertanggungjawab menjalankan amanah dengan sebaiknya.
“Bukan yang memerintah sahaja kena bijak, tetapi yang menyokong dan mengundi juga perlu bijak.
“Tahniah kerajaan negeri Terengganu dan semua rakyat Terengganu, ternyata pilihan anda dengan memenangkan PAS-PN di Terengganu kini beroleh banyak manfaat walau disekat, ditohmah dan sebagainya,” ujarnya.
Terdahulu, pada 24 April lalu Kerajaan Negeri Terengganu membuat keputusan akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Negeri pada 23 April lalu.
“Pemuda PAS Pahang menyokong penuh tindakan kerajaan negeri Terengganu melarang penjualan vape di negeri tersebut berkuatkuasa Ogos ini.
“Undi ni bukan hanya sekadar satu hari tetapi kesannya berhari-hari dan tiada orang mahu ditipu berkali-kali lagi,” ujar Zarimi di dalam satu hantaran rasminya baru-baru ini.
Bagi menjaga kebajikan pengusaha vape terjejas, Zarimi turut menyokong usaha kerajaan negeri menawarkan penyertaan dalam kursus keusahawanan serta peluang perniagaan dalam sektor yang lebih mampan dan selamat. – HARAKAHDAILY 30/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!