PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol

Dalam parti pembangkang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura yang berlangsung pada 3 Mei menyaksikan perkembangan menarik apabila beberapa calon Melayu tampil mewakili parti pembangkang, khususnya Parti Pekerja bagi merebut kerusi di Parlimen.

- Advertisement -

Mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkat,  kemunculan calon-calon Melayu berkelayakan tinggi dari barisan pembangkang mencerminkan satu gelombang perubahan dalam landskap politik negara republik itu.

“Mungkin ramai menyangka orang Melayu di Singapura tidak berani menentang kerajaan, tetapi keadaan sekarang menunjukkan sebaliknya. Calon-calon yang tampil ini bukan calang-calang, malah berpendidikan tinggi, berpengalaman bidang profesional masing-masing,” katanya.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 23 April dan kemunculan ramai calon Melayu daripada barisan pembangkang mengejutkan banyak pihak yang sebelum ini menyangka masyarakat Melayu di republik itu kurang cenderung untuk menyokong blok selain kerajaan sedia ada.

“Antara calon yang menjadi perhatian ialah Siti Alia Abdul Rahim Mattar, 43, seorang penasihat undang-undang di syarikat multinasional, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau ditauliahkan sebagai peguam pada 2006.

“Seterusnya, Abdul Muhaimin Abdul Malik, 36, bertugas sebagai Pengurus Hartanah Kanan di Majlis Bandaraya Aljunied-Hougang dan dijangka bertanding di Sengkang GRC—kawasan yang pernah dimenangi Parti Pekerja pada 2020. Beliau berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

“Selain itu, Muhamad Faisal Abdul Manap, 49, yang telah memegang jawatan ahli Parlimen di Aljunied GRC selama tiga penggal sejak 2011. Berpengalaman sebagai kaunselor dalam sektor khidmat sosial, beliau berkelulusan Psikologi dari Universiti Monash Australia dan Kejuruteraan dari Politeknik Singapura.

“Akhir sekali, Sufyan Mikhail Putra, 33, bekas Pengarah Bersekutu sebuah firma guaman yang mengkhusus dalam undang-undang hartanah, keluarga dan korporat. Beliau memiliki Ijazah Undang-Undang dari Universiti Tasmania Australia,” katanya.

Iskandar yang juga Bendahari PAS Pusat berkata, kehadiran calon-calon ini menunjukkan wujudnya kesedaran politik yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.

Sementara itu, calon-calon Melayu dari parti lain seperti Parti Demokratik Singapura (SDP) dijangka turut mengumumkan pencalonan masing-masing dalam masa terdekat.

“Satu lagi calon Islam adalah Damanhuri Abas dari SDP. Beliau yang berlatar belakang agama pernah menjadi Pengarah Muhammadiyah Kolej Islamik. Pada PRU 2020, beliau bertanding di Marsiling-Yew Tee GRC dan pasukan beliau mendapat 36.82 peratus undi popular.

“Di dalam satu temuramah tentang penyertaannya ke dalam SDP, beliau berkata beliau akan menyuarakan isu tudung dan diskriminasi di dalam Tentera Singapura.

“Beliau juga berkata beliau tetap dengan pendirian menolak pemansuhan Seksyen 377A Kanun Keseksaan Singapura,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!