AYER KEROH: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi terhadap tindakan tegas Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam menangani isu pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK).
Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Muhammad Al Afiz Yahya berkata, pencerobohan berlarutan sejak lebih 40 tahun itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah merupakan satu pengkhianatan besar.
Menurutnya, pencerobohan untuk aktiviti penanaman durian Musang King secara haram itu bertentangan terhadap amanah pemeliharaan alam sekitar sepertimana yang dituntut dalam Islam.
“Rasulullah SAW juga bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.’ (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa hutan simpan adalah khazanah negara dan warisan alam yang wajib dipelihara, bukan untuk diratah demi keuntungan segelintir manusia tamak.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak berkuasa terus bertindak tegas tanpa gentar, termasuk mengheret penceroboh ke muka pengadilan serta memulihkan semula kawasan hutan yang telah digondolkan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengecam tindakan seorang Ahli Parlimen DAP yang dilihat cuba mempertahankan penjenayah yang terang-terangan menceroboh tanah hutan simpan.
“Tindakan sebegini amat dikesali dan memberi mesej yang salah kepada rakyat, seolah-olah undang-undang boleh diketepikan apabila berdepan dengan kepentingan politik atau tekanan pihak tertentu.
“Pemimpin sebegini gagal menunjukkan komitmen terhadap keadilan dan kelestarian alam,” katanya menyeru tegas kepada isu sama bagi mengekang pencerobohan daripada terus merebak dan merosakkan khazanah negara.
“Hutan adalah amanah, bukan harta untuk diratah. Jangan biar tamak haloba rosakkan amanah Ilahi. Tegakkan keadilan, jangan lindungi pengkhianat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!