Jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol RM5.8 juta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu merancang untuk membina sebuah jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol dengan kos dianggarkan berjumlah RM5.8 juta dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan di daerah Dungun.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, projek berimpak tinggi itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Roling Plan Pertama.

“Objektif utama dalam pelaksanaan projek ini adalah bagi meningkatkan kemudahan sedia ada bagi menarik pelancong ke Pulau Tenggol serta kemudahan awam sedia ada di perkedaian medan ikan bakar.

“Dengan adanya kemudahan jeti pelancong ini akan wujudlah pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan Pulau Tenggol di samping membantu mewujudkan kemudahan untuk penduduk bertemu mesra apabila sebarang aktiviti dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Md Fauzi (PAS-Sura) dalam soalannya minta menyatakan perancangan kerajaan negeri untuk mewujudkan jeti perlancongan ke Pulau Tenggol.

Menurutnya, projek itu dijadualkan untuk dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 selama enam bulan dan Fasa 2 selama 24 bulan, menjadikan tempoh pelaksanaan keseluruhan selama 30 bulan.

“Permohonan ini memerlukan Kajian-kajian terperinci seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Risiko Marin (MRA) dan sebagainya bagi memastikan pelaksanaan projek ini menepati objektif awal pembinaan.

“Untuk tahun 2026 hanya permohonan kelulusan bajet untuk pelaksanaan kajian bagi fasa 2 dan seterusnya pembinaan. Jika projek ini tertangguh, kita bimbang ia akan menjejaskan peluang dan pembangunan industri pelancongan yang sedang pesat berkembang di Dungun,” ujarnya.

Menurut beliau, dengan adanya projek yang dicadangkan, bukan sahaja masalah kemudahan asas pelancongan dapat ditangani malah, rancangan pembangunan muara Sungai Dungun untuk dimajukan dapat direalisasikan. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!