ALOR SETAR: Satu perjanjian memperkukuh kerjasama dua hala sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, diadakan pada lawatan rasmi delegasi Kerajaan Negeri Kedah, ke Shenzhen, China.
Majlis Menandatangani Perjanjian ‘Heads of Agreement’ (HoA) antara Malaysia dan China itu melibatkan dua kawasan industri di Kedah dengan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah.
Menurut beliau, kawasan tersebut ialah Pentas Industrial City dan Qew Smart Integrated Industrial Park yang terletak di kawasan Delapan Special Border Economic Zone (SBEZ), Bukit Kayu Hitam.
“Projek ini membawa misi jangka panjang untuk memperkasa ekonomi hijau, teknologi pintar, pembuatan maju serta pensijilan halal bertaraf global,” jelasnya pada pautan di media sosialnya, di sini.
Dalam pada itu Dr Haim turut menegaskan, pada ucapannya, beliau turut menekankan Shenzhen Special Economic Zone akan dijadikan model rujukan utama dalam membangunkan kawasan-kawasan industri strategik di Kedah.
Khususnya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, yang melibatkan dari segi perancangan, kelajuan pelaksanaan, integrasi teknologi, dan ekosistem pelaburan menyeluruh.
Malah beliau juga yakin, pendekatan itu mampu melonjakkan daya saing Kedah di pentas serantau dan antarabangsa dengan menawarkan tanah seluas 40,000 ekar merangkumi 15 kawasan industri strategik di tiga zon utama iaitu utara, tengah dan selatan.
“Di zon utara, kita memberi fokus kepada SBEZ Bukit Kayu Hitam, Kedah Science &Technology Park (KSTP), Bukit Kayu Hitam Halal Hub and Logistic Centre, Kedah Rubber City (KRC) dan Digital ASEAN Halal Hub.
“Manakala di zon tengah pula iaitu di Gurun Heavy Industrial Park, Northern Smart Park, Bukit Selambau Industrial Park dan Kedah Aerotropolis
“Sementara, di zon selatan, di kawasan industri melibatkan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim Industrial Corridor, Padang Meha Industrial Park, Kulim East Industrial Park, North Kulim Industrial Park dan Bandar Baharu New Industrial Park,” jelasnya.
Dalam pada kata Dr Haim, inisiatif itu merupakan pengisian daripada agenda The Greater Kedah serta menjurus kepada komitmen transformasi ekonomi jangka panjang dan masa depan industri yang lebih mampan, hijau dan pintar buat negeri.
“Kesemua lokasi ini dirancang sebagai hab pelaburan berimpak tinggi yang menyokong pembangunan sektor perkilangan, teknologi hijau, logistik dan industri bernilai tambah,” kata beliau lagi.
Delegasi Kedah disertai serta diwakili wakil agensi pelaburan negeri, Invest Kedah dan rakan strategik dari Malaysia dan China seperti AREA Real Estate Advisory, Compass IP, PROMAS, Shenzhen Government Procurement Association, Industrial Globalization Alliance dan Standard Perpetual Finance Group. – HARAKAHDAILY 15/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!