KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menegaskan bahawa pelantikan Perdana Menteri Malaysia haruslah kekal dalam kalangan masyarakat Melayu sebagaimana yang telah menjadi amalan sejak kemerdekaan negara.
Ts Dr Subash Chantirabose M Arumugam berkata, perkara ini selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu serta peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam pemerintahan negara.
“Sejak 1957, Malaysia telah berjaya membentuk sebuah negara yang harmoni berlandaskan kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum.
“Prinsip ini menjadi asas kepada kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat yang dinikmati bersama sehingga ke hari ini,” katanya Pengarah Media dan Komunikasi Strategik DHPP Pusat itu dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata, setiap kaum di negara ini telah memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan negara, dengan saling menghormati hak dan keistimewaan yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengelakkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian yang telah kita bina bersama.
“Malaysia telah mencapai kejayaan dalam mewujudkan perpaduan nasional, dan sebarang usaha untuk mengubah tradisi ini boleh membawa kesan yang tidak baik kepada kestabilan negara.
“DHPP menyokong keamanan dan keharmonian yang telah dikecapi selama ini serta menyeru semua pihak untuk terus menghormati asas-asas kenegaraan yang telah dipersetujui sejak merdeka.
“Marilah kita bersama-sama mempertahankan perpaduan, memahami sensitiviti antara kaum,” katanyq yang juga Ketua DHPP Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 28/03/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!