KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjenamakan semula amal Islami yang merangkumi amal fardi, amal jamaie dan amal ijtimaie sebagai nilai tambah terhadap dasar ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, amal Islami bererti kerja untuk Islam, menjadi bahagian penting selepas ilmu dan iman.
Beliau berkata, pelaksanaan syariat Islam bermula dengan individu, sebelum diteruskan dalam keluarga, jiran dan masyarakat, seterusnya membentuk sebuah masyarakat menghayati nilai agama yang tinggi.
“Dipanggil amal Islami dia boleh berkaitan juga dengan amal fardi atau amal individu kita untuk jadi comel, kemudian amal jamaie dan amal ijtimaie, kita tengok Islam dalam keluarga jiran dan masyarakat.
“Bila comel belaka, negara dan negeri pun jadi comel, jadi kalau amal Islami diterapkan secara baik dalam sesebuah komuniti, comel belaka rakyat tu, apa diarah syariat Islam dia amalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput dalam rancangan audio siar Bicara Siasah mengenai tajuk ‘Kecemerlangan Amal Islami di Kelantan’ Badan Perhubungan PAS Kelantan di sini malam kelmarin.
Menerusi pelaksanaan hasrat tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu menjelaskan pihaknya menambah baik program Membina Generasi Solat (MGS) yang mula dilaksanakan lima tahun lalu.
Antara inisiatif ialah dilakukan ialah membuat kajian secara komprehensif mengenal pasti sejauh mana sambutan rakyat Kelantan terhadap kesedaran menunaikan solat fardu lima waktu.
“MSG ini sudah lama ada, cuma kita ‘update’ dengan lebih baik contohnya minta ada satu kajian dilaksanakan oleh panel ditetapkan supaya buat kajian berapa ramai rakyat tidak solat.
“Jadi kita nak tahu secara data lengkap by jajahan, kemudian kita panggil individu bertanggungjawab di jajahan untuk beri penjelasan dan data sebenar untuk dilaksanakan program sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!