
KUALA SELANGOR: Lebih 800 pengunjung membanjiri lokasi program Jualan Murah Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang yang menyaksikan sebanyak 2,000 ekor ayam berharga RM10 seekor habis dijual dalam tempoh tiga jam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, program anjuran Pusat Khidmat DUN Permatang mendapat sambutan luar biasa dengan harga ayam lebih murah kerana diberikan subsidi sebanyak RM3.
Begitu juga dengan tiga ekor lembu, katanya daging segar dijual pada harga RM35 sekilogram selepas subsidi RM10.
“Selain ayam dan daging, jualan termasuk kerang segar dua kilogram pada harga RM15, menjadikan program ini sebagai antara inisiatif paling dinanti-nantikan oleh penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, program itu bertujuan untuk meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri sambil menyokong ekonomi setempat.
“Saya percaya bahawa setiap keluarga berhak menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan rakyat mendapat barangan keperluan pada harga mampu milik, sambil membantu peniaga tempatan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata, lebih menarik program ini bukan sekadar jualan murah tetapi membuka peluang kepada penduduk Permatang untuk berniaga.
“Gerai jualan turut disediakan untuk peniaga kecil menjual sarung ketupat, ketupat palas, dan pelbagai kuih raya, memberi ruang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan menjelang Aidilfitri,” katanya.
Nurul Syazwani mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program dan berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan memberi sokongan, serta kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Insya-Allah, usaha seperti ini akan diteruskan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!