Kejam usir warga Kampung Sungai Baru menjelang Aidilfitri

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor mengecam keras pengusiran terancang dan zalim terhadap penduduk Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang dipaksa mengosongkan kediaman sebelum jam 10 pagi esok.

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, tanah yang didiami itu sudah dibuktikan berstatus ‘Malay Agriculture Settlement’ (MAS) yang tidak boleh dijual beli kepada orang bukan Melayu dan memiliki kedudukan lebih tinggi dari Tanah Rizab Melayu.

- Advertisement -

“Peristiwa begini membayangkan kita kepada kegilaan Zionis yang rakus menjarah tanah-tanah di bumi saudara kita di sana. Belum pun tiba tempoh yang ditetapkan berakhir, penduduk Kampung Sungai Baru telah ‘dipenjarakan’ dengan tembok zink.

“Bahkan diancam dengan kekerasan jika penduduk enggan berpindah pada waktu yang ditetapkan. Ke mana pergi perikemanusiaan kalian? Tindakan zalim ini membuatkan rakyat semakin muak dan hilang keyakinan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentangkan oleh seorang menteri DAP di Parlimen, Julai ini.

“Inilah bukti nyata betapa terancamnya kedudukan pemilik tanah dan strata, terutama kaum minoriti di bandar iaitu kaum Melayu dan India apabila suara mereka diketepikan atas nama pembangunan semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kira-kira tujuh ekar tanah pegangan orang Melayu di Kampung Baru bakal hilang, sekali gus menyingkirkan mereka dari ibu kota akibat kerakusan pembangunan yang hanya lebih menguntungkan pemaju.

“Ironinya, sebuah rumah ibadat yang dibina secara tidak sah di atas tanah milikan orang lain pula seakan mendapat layanan istimewa. Sebelum ini juga, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan peruntukan RM150 juta untuk membantu Kampung Baru Cina. Mengapa penduduk asal Melayu tidak diberi perhatian yang sama? – HARAKAHDAILY 25/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!