MACHANG: Kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan (UBES) melancarkan program Rakan Muda al Quran bagi melahirkan generasi muda kuat dan amanah atau ‘qawiyyul amin’.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, usaha terbabit selaras dengan agenda ‘Kelantan Future State 2033’.
Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat melahirkan golongan bukan sahaja menghafaz al Quran malah memahami isi kandungan dan melaksanakan intipati itu dalam kehidupan harian.
“Malam ini kita melancarkan program Rakan Muda al-Quran bagi membentuk generasi muda yang memahami, menghayati, dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Kita berhasrat melahirkan anak muda yang juga memahami al Quran serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seperti pendidikan, sukan, perniagaan, dan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Anak Muda Tamu Ramadan 2025 yang diadakan di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok, di sini malam tadi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Condong, Ustaz Azhar Salleh dan Pengarah UBES, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed serta Timbalannya, Mohd Firdaus Nawi.
Zamakhshari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra berkata lagi, kerajaan negeri merangka pelbagai persediaan kepada golongan itu sebagai pewaris kepimpinan negara.
“Tidak memadai sekadar menjadi penghafaz dan pembaca al-Quran yang baik, sebaliknya mereka juga perlu memiliki ilmu, akhlak, serta keterampilan kepimpinan yang jelas.
“Kita mahu anak muda berperanan pelbagai sektor seperti politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan berlandaskan roh Islam yang syumul, bukan sekadar menjadi pemerhati,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!