ALOR SETAR: Tidak dinafikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyebabkan tsunami undi orang Melayu terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN) melonjak pada Pilihan Raya Umum dan Negeri ke-15 lalu.
Malah, ‘Sanusi effect’ itu juga adalah liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH), Umno dan DAP yang masih gagal memecah tembok tersebut sehingga hari ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Hamadah Shauki, berkata, berikutan itu PH dan sekutunya terpaksa mengitar semula calon-calon ‘reject’ untuk mengemudi di Kedah bagi menumbangkan Sanusi.
“Kata-kata MB Sanusi yang didakwa mereka kononnya liabiliti terhadap PAS sebenarnya sekadar mahu melindungi fakta sebenar di sebalik gelombang yang dibawa beliau dalam pilihan raya.
“Kalau hendak bercakap soal liabiliti, ada baiknya mereka melihat siapa yang menjadi liabiliti di Putrajaya hari ini.
“Beras tempatan baru muncul setelah ‘hilang’ selama dua tahun. Itupun masih gagal mendedahkan kartel mana yang bertanggungjawab,” bidas beliau dalam kenyataannya, hari ini.
Malah kata Hamadah, tidak termasuk kes-kes rasuah dan salah laku seksual melibatkan pimpinan PH yang dibakulsampahkan.
Termasuk juga, yang melibatkan penghinaan terhadap Islam yang didiamkan pemimpin utama Melayu Islam di Putrajaya.
“Kebebasan media disekat, bahkan wartawan yang pernah bersama mereka (PH) juga menjadi mangsa,” tegasnya lagi.
Sementara katanya, kes kronisme dan nepotisme juga tidak pernah reda sebaliknya menjadi sekadar hipokrasi dalam struktur ucapan yang sedap didengar tetapi sifar tindakan.
Tambahnya, itu tidak termasuk dasar-dasar yang tempang melibatkan keputusan yang besar seperti penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang penuh persoalan tidak terjawab.
“Kalau nak sebut memang banyak lagi yang boleh disenaraikan. Maka, soal saya, siapa liabiliti negara yang sebenar?
“MB Sanusi atau mereka yang sedang kekenyangan di Putrajaya hari ini?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 22/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!