Tiada kemungkinan Perang Dunia Ketiga – Pakar Asia Barat

Trump lebih suka mengacah dan mengancam, tetapi sebenarnya penakut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakar Kajian Asia Barat, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff berpandangan bahawa tidak mungkin berlakunya Perang Dunia Ketiga kerana tiada sebab yang munasabah untuk Amerika Syarikat (AS) mencetuskan konflik berskala besar. 

Menurutnya, AS hanya mahu mencetuskan kekecohan untuk menunjukkan kuasa mereka serta mendapatkan keuntungan ekonomi, seperti menjual senjata, bahan kimia, dan peralatan ketenteraan kepada negara-negara lemah. 

“Jadi kalau dia (Amerika) nampak ada negara-negara yang bersedia untuk membeli itu, maka dia akan mengalihkan pandangan dan akan mengambil tindakan memacu ekonomi kepentingan Amerika itu sendiri jika nak dibandingkan dengan percubaan untuk membawa kepada perang,” katanya apabila dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, AS juga menghadapi tekanan dalaman, termasuk penentangan rakyatnya sendiri kerana terus-menerus memberikan sokongan kepada Israel serta membelanjakan puluhan bilion dolar AS yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara itu. 

Trump pemimpin paling pelik

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Presiden AS, Donald Trump, sama ada semasa menjadi Presiden AS 1.0 atau 2.0 (kali yang kedua), sebagai pemimpin yang mempunyai beberapa ciri sangat pelik dan tidak wujud dalam mana-mana Presiden AS sebelum ini.

“Trump terkenal kerana lebih mementingkan perniagaan daripada hal-hal lain, termasuk ketika beliau mencadangkan supaya Gaza dijadikan kawasan peranginan Riviera Timur Tengah. 

“Ia merujuk kepada usaha beliau untuk melebarkan lagi program perniagaan yang telahpun dia lakukan sebelum menjadi seorang ahli politik,” katanya. 

Beliau berkata, Trump juga dikenali sebagai seorang yang melanggar semua peraturan dan undang-undang, sama ada dibuat oleh beliau sendiri, pemimpin AS sebelum ini, mahupun telah direstui dan dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kuasa-kuasa dunia lain. 

Sikap suka mengancam

Prof Dr Kamaruzaman berkata, Trump turut terkenal sebagai pemimpin yang selalu membuat ancaman terhadap negara lain. 

“Jika sekiranya pada zaman 1.0 dulu, beliau mengancam untuk menghancurkan Rusia, China dan Korea Utara, tetapi pada masa ini pula dia membuat ancaman untuk menghancurkan apa yang dilihat boleh menjadi penghalang kepada AS ataupun Israel. 

“Jadi dia janji nak hancurkan Iran, nak hancurkan HAMAS, nak hancurkan Houthi, semuanya dia nak lakukan. Selain itu, Trump juga mahu membolot kekayaan dunia untuk kepentingannya sendiri. 

“Bila dia nampak banyaknya sumber nadir bumi (REE) di Greenland, maka dia nak ambil Greenland. Bila dia nampak dia boleh menguasai Selat Mexico dan Panama, dia nak ambil kawasan itu. 

“Ini adalah satu sikap bukan saja tidak bertanggungjawab, tetapi boleh disebut sebagai sikap gila kuasa,” katanya. 

Amerika Syarikat penakut

Prof Dr Kamaruzaman berkata, meskipun Trump sering mencetuskan ketegangan, AS sendiri adalah kuasa yang sangat penakut. 

“Apa yang dia paling takut ialah Rusia. Kalau betul-betul dia nak meneruskan peperangan dan membantu Ukraine menentang Rusia, sudah tentulah dia tidak akan bersedia untuk bertemu dengan pemimpin Rusia untuk membincangkan gencatan senjata. 

“Yang kedua, kalau dia betul-betul jahat dan berani, dia tidak akan bertangguh lagi untuk menghancurkan Yaman kerana dia tahu di belakang Yaman itu adanya Iran. Jadi dia tidak berani melakukan itu,” katanya. 

Menurutnya, Trump adalah pemimpin yang suka mengacah dan mengancam, tetapi dalam masa yang sama juga seorang yang takut. 

“Kita boleh simpulkan apa yang dia buat pada masa ini adalah semata-mata untuk mengalihkan pelbagai masalah yang ada di AS ketika ini,” katanya. 

Beliau berkata, AS walaupun kelihatan berani, masih lagi menunggu respons daripada negara-negara Arab sebelum mengambil tindakan yang boleh menggambarkan mereka sebagai pemimpin penakut dan tidak berupaya membantu Israel dan sekutu-sekutunya. 

“Mereka takutkan China, mereka takutkan Rusia, mereka juga takutkan Iran dan mana-mana sekutu yang dekat dengan kuasa-kuasa besar lain kerana mereka sebenarnya adalah pemimpin yang penakut dan tidak berani untuk mengambil tindakan secara unilateral di mana saja mereka berada,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!